Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Rombongan Komunitas Puisi Esei ASEAN dari Sabah dan Republik Indonesia mengadakan kunjungan mesra ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Negara Brunei Darussalam di Balai Sarmayuda, DBP, Berakas, hari ini.
Hadir menyambut kedatangan rombongan yang diketuai oleh Presiden Komunitas Puisi Esei ASEAN, Datuk Jasni Matlani itu ialah Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab yang sekali gus menyampaikan ucapan alu-aluan.
Turut hadir ialah para penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara, persatuan-persatuan, para penulis dan penggiat seni tanah air.
Antara objektif kunjungan adalah bagi menjalin kerjasama antara penulis sastera dan membincangkan program-program pembangunan kapasiti melalui kegiatan dan persuratan Melayu.
Dalam kunjungan mesra itu, pihak Komunitas Puisi Esei ASEAN turut berpeluang memperkenalkan genre puisi esei kepada para jemputan.
Puisi esei merupakan sebuah genre yang baru muncul sekitar 2012 di Indonesia, kemudian mempunyai pengikutnya yang tersendiri di Malaysia.
Pengenalan puisi esei ini diharap akan membuahkan penghasilan bentuk-bentuk karya penulisan baharu di negara ini, khususnya dalam genre puisi esei dalam kalangan penulis tanah air, dan seterusnya dialih wahana dalam bentuk seni pementasan oleh para penggiat seni tanah air.
