Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Rombongan Kor Diplomatik saksi proses pilihan raya, lawat Miri

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    MIRI, 6 NOV – Seperti yang diumumkan sebelumnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia telah menetapkan 5 November 2022 sebagai hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

    Ia menandakan bermulanya tempoh rasmi kempen khususnya bagi parti-parti politik di seluruh Malaysia untuk menambat hati pengundi sebelum tarikh pengundian PRU15 yang dijadualkan pada 19 November depan. Manakala tarikh bagi pengundian awal pula akan dilaksanakan pada 15 November.

    Sehubungan itu, ahli-ahli Kor Diplomatik di Negara Brunei Darussalam yang menyertai rombongan lawatan pengenalan selama dua hari ke Miri, Sarawak Malaysia yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam turut berpeluang menyaksikan secara langsung kempen politik yang sedang berlangsung di kawasan setempat. Rombongan terdiri daripada seramai 29 orang dari 16 perwakilan luar negara ke Brunei Darussalam serta beberapa ahli keluarga mereka.

    Beberapa acara dan kegiatan telah disusun semasa lawatan pengenalan tersebut termasuklah kunjungan ke Miri City Council, Canada Hill, Grand Old Lady, Petroleum Museum, Miri Handicraft Centre dan Niah National Park.

    Sepanjang perjalanan itu, bendera-bendera parti yang berwarna-warni dengan beraneka corak dan poster kelihatan dipamerkan di beberapa bahagian jalan yang bertujuan untuk meraih dan mendapatkan perhatian pengundi-pengundi di kawasan setempat.

    Walau bagaimanapun, memandangkan kempen baru saja bermula, bahang kempen politik belum lagi terlalu ketara kelihatan. Miri merupakan salah satu kawasan parlimen yang terdapat di Malaysia daripada jumlah keseluruhan 222 buah kawasan parlimen yang dipertandingkan dalam PRU15.

    Pada PRU sebelumnya, kerusi Parlimen Miri telah dimenangi dengan majoriti yang cukup besar oleh Dr Michael Teo atas tiket Pakatan Harapan (PH) yang juga merupakan penyandang kerusi yang sama pada penggal sebelumnya.

    PRU 15 kali ini sedikit berbeza apabila proses demokrasi di Malaysia buat julung kalinya membolehkan pengundi kelompok usia di bawah 21 tahun untuk keluar membuang undi mereka susulan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang diluluskan pada Disember 2021 bagi menurunkan usia layak mengundi kepada 18 tahun serta mendaftarkan golongan berusia sama sebagai pemilih secara automatik.

    Rombongan ahli-ahli Kor Diplomatik di Negara Brunei Darussalam bergambar ramai di Miri City Council.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...