Sunday, March 23, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rombongan Lion Club kunjungi Pusat Ehsan

    Oleh Siti Nur Wasimah S.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Sept – Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan), pagi tadi, telah menerima lawatan daripada ahli-ahli Lions Club Bandar Seri Begawan (BSB) yang telah diketuai oleh Presidennya, Suni Kumar Ramchandani.

    Kedatangan ahli-ahli kelab berkenaan telah dialu-alukan oleh Pemegang Amanah Eksekutif Pusat Ehsan, Pengiran Datin Hajah Noraini binti Pengiran Dipa Negara Laila Diraja Pengiran Haji Abdul Momin, Pemegang Amanah Dasar dan Perancangan Pusat Ehsan, Haji Ahmad bin Haji Abdul Rahman serta kakitangan di Pusat Ehsan.

    Suni Kumar Ramchandani semasa ditemui menyatakan, lawatan berkenaan bertujuan untuk melawat bilik-bilik Perkembangan Kanak-kanak di pusat tersebut yang telah ditambah baik oleh Lions Club, baru-baru ini.

    Rombongan bergambar ramai bersama warga Pusat Ehsan.
    Ahli Lions Club BSB semasa meninjau keadaan pembelajaran para pelajar di Pusat Ehsan.

    Lima buah bilik telah diubah suai dan dicat semula oleh ahli-ahli kelab tersebut agar kanak-kanak istimewa yang belajar di Pusat Ehsan merasa lebih selesa dan senang hati apabila mempunyai bilik yang begitu cantik.

    Kelab itu, jelasnya, telah ditubuhkan pada 1970 di negara ini dan mempunyai 15 orang ahli yang mana kelab tersebut telah bergiat aktif membuat projek-projek sukarelawan di Pusat Ehsan. Beliau berharap agar projek seumpama ini akan dapat memberikan pendedahan kepada orang ramai mengenai kepentingan dalam memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan khasnya lagi di Pusat Ehsan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda