Tuesday, April 22, 2025
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rombongan Maktab Duli kunjungi duta Jepun

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Okt – Lima orang pelajar bersama seorang guru pengiring dari Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli) akan menghadiri Sidang Kemuncak Pelajar Sekolah Tinggi mengenai Hari Kesedaran Tsunami Sedunia 2018, yang akan diadakan di Wakayama, Jepun pada 31 Oktober dan 1 November.

    Sebelum berlepas ke Jepun, perwakilan belia berkenaan telah mengadakan pertemuan bersama Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Motohiko Kato di Pejabat Kedutaan Jepun, Kiulap, hari ini.

    Delegasi belia berkenaan akan berada di Jepun bermula pada 27 Oktober hingga 2 November depan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, sidang kemuncak berkenaan bermatlamat untuk memberi pengetahuan yang mendalam dan meningkatkan kesedaran para peserta mengenai amaran tsunami dan langkah awal yang diambil bagi melindungi nyawa orang ramai bersempena Hari Kesedaran Tsunami Dunia yang disambut pada 5 November.

    Salah seorang peserta, Dayangku Noor Amal Shahirah Hazerah binti Pengiran A’malluddin Shah telah mengongsikan persiapan yang dilakukannya bagi menyertai persidangan itu dengan membuat kaji selidik dalam kalangan pelajar Maktab Duli dan ahli keluarga peserta mengenai persediaan mereka sekiranya berhadapan dengan cabaran, di samping turut memberi kesedaran kepada orang ramai.

    Selain menghadiri sidang kemuncak berkenaan, para pelajar berkenaan juga akan mengadakan lawatan sambil belajar ke beberapa tempat menarik di negara matahari terbit itu.

    Sidang kemuncak kali ini akan disertai oleh 450 orang pelajar dari 48 buah sekolah tinggi di seluruh dunia termasuk Jepun.

    TYT Motohiko Kato bergambar ramai bersama rombongan pelajar Maktab Duli yang akan menghadiri Sidang Kemuncak Pelajar Sekolah Tinggi mengenai Hari Kesedaran Tsunami Sedunia yang akan diadakan di Jepun.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda