Friday, April 19, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Rombongan MMN adakan lawatan ke KHEU

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar serahan KHEU

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 FEB – Rombongan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) pagi tadi telah me-ngadakan lawatan ke Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) sebagai sebahagian daripada sesi Perjumpaan Muhibah antara ahli MMN dan KHEU.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh KHEU, lawatan tersebut bertujuan sebagai wadah untuk percambahan minda serta bertukar-tukar buah fikiran, serta mempertingkatkan kesedaran awam bagi sama-sama menanai cabaran perkhidmatan agama di Negara Brunei Darussalam melalui pendekatan seluruh negara.

    Mengalu-alukan kehadiran ahli MMN ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Turut hadir Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap KHEU, Haji Mohd Rosli bin Haji Ibrahim serta ketua-ketua jabatan dan bahagian di bawah KHEU.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan doa oleh Pengetua Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Pengiran Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit. Seterusnya, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyampaikan ucapan alu-aluan yang menyentuh mengenai gelombang ketiga yang sedang hadapi oleh negara ketika ini.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama semasa sesi perjumpaan muhibah antara ahli MMN dan KHEU.
    Antara ahli MMN yang diketuai oleh Yang Berhormat Awang Iswandy semasa sesi perjumpaan tersebut.

    “Dengan adanya gelombang ketiga ini kita perlu menghadapi dengan sabar, tabah, tidak takut dan tidak menyalahkan antara sesama sendiri dan menerimanya sebagai apa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Dengan adanya sesi muzakarah ini, ia akan dapat dijalankan dengan penuh sabar,” ujar Yang Berhormat Pehin.

    Ini diikuti dengan ucapan balas daripada ketua rombongan MMN, Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad.

    Dalam ucapannya Yang Berhormat Awang Iswandy mengucapkan ribuan te-rima kasih atas penerimaan pihak KHEU untuk sama-sama duduk bermuzakarah, bertukar-tukar pendapat, memberikan maklum balas serta mencari penyelesaian dalam menambah baik lagi kualiti kehidupan duniawi dan ukhrawi.

    Yang Berhormat Awang Iswandy juga menyentuh mengenai cabaran besar tentang wabak COVID-19 dan memuji usaha pihak KHEU dalam meneruskan usahanya mengadaptasi prosedur seperti mengedarkan maklumat dan ilmu yang berguna secara digital, perkhidmatan diberikan secara dalam talian, dan juga merapati orang ramai dengan teknologi yang ada tanpa mengurangkan usaha penghayatan beragama.

    Perjumpaan muhibah seterusnya membincangkan perkara-perkara dalam bidang pendidikan dan pelajaran agama, hal ehwal masjid dan yang berkaitan dengan Majlis Ugama Islam Brunei.

    Usaha sedemikian diharap dapat memberi input dan inspirasi yang bermanfaat dan berfaedah kepada ahli-ahli MMN dan KHEU, terutamanya mengenai Rancangan Strategik KHEU yang telah, sedang dan akan dilaksanakan bagi mencapai visi pihak kementerian secara berstruktur dan berhemah.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...