Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 SEPT – Rombongan seramai 39 orang ahli Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Tutong, baru-baru ini, berpeluang menerokai keindahan Negeri di Bawah Bayu, Sabah menerusi kunjungan menggunakan bas.
Dipimpin oleh Pengurus PKWE Daerah Tutong, Haji Hamaffi bin Mohd Yassin, rombongan warga emas berkenaan telah membuat perjalanan selama empat hari dengan
mengunjungi tempat-tempat menarik di Sabah.
Antara yang dikunjungi termasuklah Masjid Terapung Kota Kinabalu, kawasan Menara Tun Mustafa, Rumah Terbalik dan Muzium 3D dan Muzium Sabah.
Rombongan juga berpeluang mengunjungi Tamu Kota Belud yang terletak 70 kilometer (km) dari Kota Kinabalu dan mengambil masa perjalanan hampir dua jam.
Semasa berada di tamu tersebut, rombongan menyaksikan pelbagai jualan makanan termasuk buah-buahan dan makanan laut yang dijual dengan harga yang jauh lebih murah dan segar.
Warga emas berkenaan juga tidak melepaskan peluang menikmati kesegaran makanan laut di Todak Water-front Seafood Market yang sudah tidak asing lagi di negeri tersebut.
Pada hari terakhir, mereka juga berpeluang untuk menikmati makanan di Sipitang yang terkenal dengan hidangan sate dan buah-buahan tempatan sebelum berangkat balik menuju ke tanah air.
Perjalanan melebihi 300km tersebut tidak berasa bosan dengan gelagat dan telatah ahli-ahli rombongan di sepanjang perjalanan.
Dengan adanya perjalanan seumpama itu, ia diharapkan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan persahabatan dalam kalangan ahli PKWE Daerah Tutong di samping meneroka keindahan alam semula jadi yang terdapat di negara jiran.
