BEIRUT, 14 SEPT – Seorang wanita bersenjatakan senapang dan puluhan aktivis memecah masuk sebuah cawangan bank di Beirut hari ini, mengambil lebih AS$13,000 daripada apa yang dikatakan aktivis merupakan wang simpanan yang dibekukan.
Bank Lubnan telah mengenakan had yang ketat atas pengeluaran mata wang asing sejak 2019, membeku simpanan jutaan orang. Kira-kira tiga suku populasi telah jatuh miskin ketika ekonomi negara Mediterranean itu terus merosot.
Wanita itu berkata dia memerlukan wang untuk membiayai rawatan kanser adik perempuannya, menurut saksi.
Bersenjatakan senapang patah, dia dan aktivis memasuki cawangan Bank BLOM dan menyerbu masuk pejabat pengurus.
“Mereka menyimbah gasolin di merata tempat dalam bank, dan mengeluarkan pemetik api dan mengugut akan menyalakannya,” beritahu Nadine Nakhal, pelanggan bank, kepada The Associated Press. Dia berkata wanita bersenjata itu mengugut akan menembak pengurus sekiranya dia tidak menerima wangnya.
Aktivis yang menemani wanita itu berasal daripada kumpulan bernama Depositor’s Outcry.
Beberapa orang memasuki bank bersamanya, sementara yang lain mengadakan bantahan di pintu masuk. Wanita itu akhirnya meninggalkan bank dengan wang dalam beg plastik, kata saksi.
Anggota keselamatan yang berdiri di luar memberkas beberapa aktivis, termasuk seorang lelaki yang membawa senapang patah.
Kejadian berlaku beberapa minggu selepas seorang pemandu hantaran makanan memecah masuk sebuah bank di Beirut dan menahan 10 orang sebagai tebusan selama tujuh jam, menuntut puluhan ribu dolar dalam simpanan bekunya. – AP