SAN ANTONIO, 23 Jan – Rompakan di dalam sebuah gedung membeli-belah di San Antonio berakhir dengan tembakan senjata semalam, yang mengakibatkan seorang yang cuba masuk campur terbunuh, tiga orang lagi ditembak dan dua orang lagi dikejarkan ke hospital kerana mengalami kecederaan yang bukan akibat tembakan, menurut polis dan pegawai bomba.
Ketua Polis William McManus berkata dua suspek telah merompak sebuah kedai emas di Rolling Oaks Mall semalam.
“Apa yang berlaku di sini ialah rompakan yang benar-benar teruk,” kata McManus.
Selepas suspek-suspek itu lari meninggalkan stor itu, seorang lelaki yang digambarkan oleh McManus sebagai ‘orang yang baik hati’ cuba menahan kedua-dua lelaki itu.
Salah seorang perompak kemudian menembak mati lelaki itu, menurut McManus.

Individu kedua yang membawa senjata berlesen yang disembunyikan, kemudian menembak dan mencederakan perompak itu yang telah membunuh lelaki baik hati itu, menurut McManus.
Polis berkata perompak kedua, yang pada awalnya melarikan diri dari tempat kejadian, telah diberkas malam semalam. Butiran tambahan tentang penangkapan atau suspek tidak segera diperolehi.
McManus menyifatkan penembakan maut itu ‘benar-benar sia-sia.” Nama mangsa tidak segera dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
Perompak lain yang melarikan diri gedung membeli belah melepaskan tembakan dari senjatanya, mencederakan seorang lelaki dan seorang wanita.
Kedua-dua individu ini, berserta dengan perompak yang tercedera telah dibawa ke hospital setempat, menurut Ketua Bomba San Antonio, Charles Hood.
Dua orang lagi, seorang wanita yang mengadu sakit bahagian dada dan seorang wanita mengandung mengadu sakit hendak melahirkan juga telah dikejarkan ke hospital setempat, menurut Hood lagi. – AP