Rona kehidupan zaman dahulu

Oleh Haji Mohd Daud Abdul Rahman

Gambar oleh Haji Sablee Mahmud

 

MASYARAKAT yang lahir dalam tahun 1940-an, 1950-an dan 1960-an menempuh suatu kehidupan yang serba-serbi kekurangan dan susah payah amat dirasai, terutama dalam keperluan dapur. Semuanya sangat berbeza jika dibandingkan dengan zaman sekarang yang mana semuanya mudah didapati dan dibeli.

Masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman mahupun masyarakat yang tinggal di Kampong Ayer pada zaman itu tidak ramai yang bekerja dengan sektor kerajaan. Mereka memilih untuk bekerja sendiri seperti bercucuk tanam buah-buahan, sayur-sayuran dan lain-lain lagi untuk menyara kehidupan keluarga.

Golongan ibu yang berada di rumah sabar menantikan sang suami pulang membawa buah tangan untuk dimakan bersama-sama. Lauk pauk, beras dan gula adalah antara keperluan utama bagi hidangan waktu pagi dan petang. Manakala tempat memasak yang popular pada masa itu adalah dapur besi (alat untuk memasak nasi, gulai dan lain-lain lagi). Dan pada dapur besi itu pula adanya ‘tungku besi’. Kemudian ‘kalangnya’ adalah jenis bata dan menyalakan api dengan cara meniup. Antara hidangan atau masakan yang menggunakan alat ini adalah lauk masak air, salai, goreng dan pais.

Antara jenis rumah lama iaitu tempat tinggal penduduk kampung yang jauh tinggal di kawasan pedalaman pada tahun 1959.
Seorang ibu menyalakan api dengan cara meniup semasa hendak memasak hidangannya pada tahun 1957.
Lampu jenis gas yang hanya digunakan oleh golongan yang berkemampuan pada tahun 1960.
Kayu bakau yang sudah kering senantiasa diletakkan di bahagian bawah ‘dapur tinggi’ semasa tahun 1959.
’Dapur rendah’ bagi memasak nasi yang mana diperbuat daripada besi pada tahun 1957.

Manakala jenis kayu yang digunakan pada zaman itu adalah kayu bakau. Ikan yang dibakar menggunakan kayu tersebut, rasanya akan lebih sedap. Bagi mereka yang menyukai hidangan pais ikan, ia perlulah diletakkan di atas ‘tungku’ bara api yang sudah merah menyala. Bahang panasnya membuatkan ikan-ikan itu akan lebih cepat masak.

Jika ianya tidak habis dimakan, ia akan disimpan dan diletakkan di atas salaian atau dapur. Ianya tidak akan basi asalkan bara api itu masih menyala – berwarna merah. Ia juga dapat menghindarkan daripada kucing untuk mengambilnya. Kayu-kayu api senantiasa diletakkan di bawah dapur tersebut agar ianya cepat kering, terutamanya kayu bakau. Pada zaman dahulu, dapur atau alat memasak itu mempunyai dua jenis iaitu dapur tinggi dan dapur rendah. Ia adalah alat kemudahan bagi golongan ibu dan nenek untuk memasak.

Sementara apabila menjelangnya waktu malam, mereka akan menggunakan lampu minyak tanah bagi menerangi suasana. Manakala bagi golongan yang berkemampuan pula, mereka akan menggunakan lampu jenis gas.