Ronaldinho ditangkap guna pasport palsu

ASUNCION, 5 MAC – Bekas bintang bolasepak Brazil, Ronaldinho dan adiknya telah ditahan di Paraguay selepas didakwa menggunakan pasport palsu untuk memasuki negara Amerika Selatan itu, kata pihak berkuasa.

“Ronaldinho akan didengar penjelasannya pada pukul 8 pagi esok di pejabat pendakwa,” kata Menteri Dalam Negeri Euclides Acevedo kepada wartawan.

Polis Paraguay menyerbu hotel di Asuncion di mana pemenang Ballon d’Or 2005 itu tinggal dan didapati memegang dokumen palsu, kata menteri itu. “Kami juga akan menyiasat pihak berkuasa yang membenarkan mereka masuk ke negara ini dengan dokumen palsu,” kata Acevedo.

Pasport Ronaldinho dan adiknya di Brazil telah ditarik balik pada November 2018 selepas gagal membayar denda AS$2.3 juta atas kerosakan alam sekitar yang berlaku semasa membina bangunan di Rio Grande do Sul, selatan Brazil. – AFP