Ronaldo, Cavani kunci utama kemenangan Man Utd – Solskjaer

LONDON, 31 OKT – Ole Gunnar Solskjaer berkata pengalaman Cristiano Ronaldo dan Edinson Cavani adalah kunci kemenangan 3-0 Manchester United menentang Tottenham kelmarin ketika mereka bangkit daripada dibelasah Liverpool 5-0 enam hari lalu.

Selepas seminggu spekulasi mengenai masa depannya, percaturan dilakukan Solskjaer membuahkan hasil selepas Ronaldo dan Cavani, kedua-duanya mencetak gol selepas pertama kali digandingkan bersama di bahagian serangan.

Pertukaran kepada tiga pemain belakang, dibantu oleh kepulangan Raphael Varane daripada kecederaan, turut membantu pasukan Solskjaer mencatatkan rekod tanpa bolos kedua dalam 22 perlawanan.

“Kami membina prestasi ini melalui kerja keras, disiplin dan cuba menghalang bola dari membolosi gawang kami,” kata Solskjaer.

Pembelian Ronaldo, Varane dan Jadon Sancho pada awal musim ini dijangka menjadikan United sebagai pencabar kejuaraan musim ini.

Sebaliknya, mereka ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea selepas 10 perlawanan, tetapi naik ke tangga kelima hasil kemenangan liga pertama dalam lima perlawanan.

Kesan kehadiran Ronaldo ter-hadap keseimbangan pasukan telah dipersoalkan.

Tetapi tidak banyak yang meragui pemenang Ballon d’Or lima kali itu apabila dia melakukan tendangan voli pada gol ketujuhnya dalam 11 perlawanan sejak kembali ke kelab itu, untuk menenangkan United.

Ronaldo kemudian membuat hantaran kepada Cavani untuk menggandakan pendahuluan United dengan tendangan lambung yang mengatasi Hugo Lloris pada separuh masa kedua.

“Pengalaman tersebut tidak sia-sia,” kata Solskjaer. “Saya diberitahu itu adalah pasukan tertua yang saya pilih untuk Man Uted dan sudah tiba masanya.

Bagaimanapun, Solskjaer ingin menegaskan bahawa satu persembahan yang baik tidak akan dapat menghapuskan bekas rekod kekalahan di gelanggang sendiri hujung minggu lalu kepada musuh ketat mereka. – AFP

Reaksi pemain Manchester United, Cristiano Ronaldo, meraikan selepas menjaringkan gol pembukaan dalam perlawanan EPL menentang Tottenham Hotspur di stadium Tottenham Hotspur. – AP