LONDON, 5 JAN – Cristiano Ronaldo telah digesa untuk bersuara mengenai isu hak asasi manusia di Arab Saudi selepas menyelesaikan perpindahannya ke Al Nassr.
Bintang Portugal itu, yang disambut oleh bunga api dan bunyi gemuruh penonton di stadium Mrsool Park Al Nassr baru-baru ini, berkata dia mahu ‘menjadi sebahagian daripada kejayaan dan budaya negara’.
Pemain berusia 37 tahun itu meninggalkan Manchester United pada November selepas temu bual yang sensitif di mana dia mengkritik kelab dan pengurus Erik ten Hag.
Ketibaan bekas penyerang Real Madrid itu berlaku di sebalik usaha Arab Saudi mempromosi sukan termasuk golf, tinju, tenis dan F1 serta bola sepak, berikutan pengambilalihan kelab Liga Perdana Inggeris, Newcastle United pada 2021.
Negara Teluk itu juga sedang mempertimbangkan tawaran untuk menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia 2030.
“Daripada menawarkan pujian tanpa kritikan terhadap Arab Saudi, Ronaldo harus menggunakan platform awamnya yang popular untuk menarik perhatian kepada isu hak asasi manusia di negara itu,” kata Dana Ahmed, penyelidik Timur Tengah Amnesty. – AFP
