Ronaldo julang United ke kelompok 16 terakhir

PARIS, 24 NOV – Manchester United menempah tempat ke kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara apabila Cristiano Ronaldo menjaringkan gol ketika menang 2-0 di Villarreal semalam manakala Chelsea juga mara selepas menewaskan Juventus.

Juara Eropah tiga kali, United yang melalui perlawanan pertama sejak memecat Ole Gunnar Solskjaer, perlukan kemenangan untuk mengesahkan kedudukan di dua tempat teratas Kumpulan F.

Bagaimanapun mereka berdepan tekanan besar kerana kekalahan boleh melenyapkan impian itu.

David de Gea melakukan dua aksi hebat menyelamatkan United dan Michael Carrick yang mengemudi pasukan, mengambil kelebihan hasil jaringan Ronaldo pada minit ke-78.

Jadon Sancho, yang menjadi pemain sering dikritik sejak perpindahan besar dari Borussia Dortmund pada penamat musim, menampilkan persembahan individu yang cemerlang dengan gol pertamanya buat kelab tidak lama selepas itu.

Reaksi Cristiano Ronaldo semasa perlawanan Liga Juara-Juara Kumpulan F di antara Villarreal dan Manchester United di stadium La Ceramica di Vila-real pada 23 November. – AFP

“Ia bukanlah keputusan yang penting buat saya secara peribadi. Ia penting buat pemain dan kelab,” kata Carrick.

Gol Ronaldo adalah yang ke-799 dalam kariernya, ke-140 dalam Liga Juara-Juara dan keenam dalam kejohanan tahun ini.

Satu lagi tempat dalam kumpulan masih boleh diraih selepas Young Boys dan Atalanta seri 3-3 di Bern.

Gol lewat Vincent Sierro dan Silvan Hefti memberikan juara Switzerland kelebihan 3-2 namun Luis Muriel meledak pada minit ke-88 buat pasukan pelawat.

Atalanta akan berdepan perlawanan penentuan bertemu Villarreal di Bergamo bulan depan. – AFP