MOSCOW, 1 Julai – Harapan Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi di Piala Dunia kali ini terkandas selepas Argentina dan Portugal tewas dalam peringkat 16 menentang lawan masing-masing sementara pemain muda berbakat besar, Kylian Mbappe mencipta nama selaku generasi baharu bintang bola sepak dunia.
Sejumlah 10 gol telah terkumpul dalam hari pertama peringkat kalah mati dan menyaksikan Messi dan Ronaldo mungkin membuat penampilan terakhir dalam pentas bola sepak terbesar itu.
Messi dan Ronaldo yang menyaksikan Portugal tewas 1-2 kepada Uruguay, diramal akan bertembung di suku akhir, namun kedua-dua bintang itu terpaksa pulang lebih awal.
Dalam perlawanan awal di Kazan, Perancis bangkit untuk menewaskan Argentina dengan jaringan 4-3 di mana pemain berusia 19 tahun Mbappe meledak dua gol dalam penampilan yang menakjubkan.
Messi yang mencipta pelbagai kejayaan bersama Barcelona menyaksikan dia paling hampir menjulang Piala Dunia pada 2014, namun ketika itu Argentina tewas kepada Jerman.

Messi gagal menerjah gawang, pulang dengan satu gol dan peluang bintang Barcelona yang kini berusia 31 tahun itu untuk menjuarai Piala Dunia semakin kabur.
Dalam pada itu, bintang Real Madrid, Ronaldo pula yang membantu Portugal muncul juara Eropah dua tahun lalu, kemungkinan besar tidak akan beraksi pada edisi Piala Dunia seterusnya sekali gus menyaksikan pencapaian terbaiknya di Piala Dunia adalah pada 2006 ketika Portugal mara ke separuh akhir.
Sementara itu, Mbappe pula mencipta rekod baharu yang belum pernah dapat dilakukan sejak 60 tahun lalu apabila muncul pemain muda pertama meledak dua gol di Piala Dunia sejak Pele pada 1958.
“Saya sangat gembira kerana dibandingkan dengan pemain hebat seperti Pele,” kata Mbappe yang lahir beberapa bulan selepas Perancis memenangi Piala Dunia 1998.
“Apapun, adalah sesuatu yang amat hebat dapat tersenarai bersama mereka yang meraih pencapaian luar biasa,” katanya lagi. – AFP

































