Ronaldo, Messi masih terbaik tapi…

PARIS, 9 Nov – Bintang muda Perancis, Kylian Mbappe (gambar bawah) berkata, Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi kekal sebagai pemain bola sepak terbaik dunia tetapi prestasi luar biasa ketika kempen Piala Dunia mampu membantunya merangkul anugerah Ballon d’Or tahun ini.

Mbappe, 19, membantu Perancis merangkul trofi Piala Dunia apabila dia menjaringkan empat gol sepanjang kempen di Rusia itu.

Salah satu daripada jaringannya itu hadir ketika Les Bleus menewaskan Croatia 4-2 pada aksi final dan dia muncul sebagai pemain remaja kedua menjaringkan gol pada final selepas Pele pada 1958.

Dia juga dipilih sebagai Pemain Muda Terbaik Kejohanan dan sejak itu dia mengukuhkan reputasinya dan kini menjadi pendahulu penjaring terbanyak Liga Perancis apabila mengumpul 11 gol.

Messi dan Ronaldo memenangi 10 anugerah terakhir Ballon d’Or dan Mbappe masih percaya mereka masih pemain hebat.

“Tiada siapa yang melakukan lebih baik daripada mereka buat masa sekarang. Anda tidak boleh katakan era mereka sudah berakhir kerana ia hanya akan berakhir apabila ada orang lain melakukan lebih baik berbanding mereka,” kata Mbappe kepada AFP.

Bagaimanapun, penyerang muda itu berkata ” Saya tidak fikir salah seorang daripada dua ikon bola sepak dunia itu akan memenangi anugerah Ballon d’Or tahun ini kerana ini adalah tahun Piala Dunia dan prestasi pemain pada kejohanan itu lebih diberi keutamaan.”

Ketika Mbappe menjulang trofi Piala Dunia, Messi dan Ronaldo pula terpaksa menyaksikan pasukan mereka Argentina serta Portugal tersingkir pada pusingan 16 terbaik.

“Bagaimanapun, jika anda menilai dari aspek prestasi, tiada pemain yang lebih baik daripada mereka. Tahun ini mereka kekal dua pemain terbaik,” tambahnya.

“Messi menamatkan saingan sebagai penjaring gol terbaik di Eropah manakala Ronaldo penjaring terbanyak Liga Juara-Juara.”

Kali terakhir pemain Perancis memenangi anugerah Ballon d’Or adalah Zinedine Zidane selepas membantu pasukan itu muncul juara Piala Dunia 1998.

“Sejujurnya, saya juga berharap (memenangi Ballon d’Or). Kami mencapai kejayaan yang besar. Ia tidak akan menjadi tidak adil kerana itu adalah kenyataan yang besar, namun ia sangat menghampakan jika pemain Perancis tidak menang.

“Kami mencipta sejarah dan ia bagus untuk diberikan ganjaran.” – AFP