Ronaldo mungkin tidak beraksi

LISBON, 4 SEPT – Cristiano Ronaldo diragui akan memulakan permainan ketika Portugal akan mula mempertahankan gelaran Liga Negara-Negara berdepan Croatia awal pagi Ahad ini di Porto dan bertemu Sweden awal pagi Rabu depan di Solna.

Ronaldo kini bersama skuad Portugal tetapi mengalami jangkitan pada jari kaki dan tidak berlatih pada Rabu dan Khamis. Dia sebaliknya berlatih di gimnasium, kata Persekutuan Bolasepak Portugal (FPF).

Ronaldo meledak 99 gol dalam 164 perlawanan antarabangsa tetapi FPF, yang menutup kem latihan mereka kepada akhbar kerana protokol kesihatan, tidak memberikan sebarang petanda sama ada pemain itu akan cergas bagi perlawanan berkenaan.

Ronaldo tidak bermain sejak awal Ogos apabila Juventus disingkirkan daripada Liga Juara-Juara oleh Lyon. Pada usia 35 tahun pemenang lima kali Ballon d’Or itu meledak 37 gol dalam semua kejohanan musim lalu, satu rekod buat Juve dan menegaskan dia masih bercita-cita besar dengan menunjukkan jaringannya di Instagram minggu lalu.

“Kemenangan. Komitmen. Dedikasi. Profesionalisme. Dengan segala kekuatan saya dan bantuan tidak ternilai daripada rakan sepasukan dan semua staf Juventus, kami akan bekerja sekali lagi untuk menakluk Itali, Eropah dan Dunia!” katanya.

Portugal kembali ke ibu negara itu di mana sebagai tuan rumah mereka memenangi Liga Negara-Negara utama pada bulan Jun 2019, menewaskan Belanda 1-0. Berikutan kejohanan Euro 2020 ditangguhkan selama setahun, mereka juga kekal sebagai juara Eropah. Selain Sweden, kumpulan empat sepasukan juga merangkumi juara dunia, Perancis. – AFP

Ronaldo diragui untuk memulakan permainan ketika Portugal akan mula mempertahankan gelaran Liga Negara-Negara berdepan Croatia awal pagi Ahad ini di Porto. – AFP