LONDON, 1 NOV – Penampilan bintang yang ditandatangani semula Manchester United, Cristiano Ronaldo dilihat memainkan peranan penting dalam kebangkitan dan menyumbang kepada gol kemenangan kelab itu.
Penyerang Portugal itu membantu jentera serangan menerusi jaringan penting dan gerakan menarik sejak menyertai kelab Old Trafford itu.
United melakukan persediaan berdepan Atalanta bagi saingan Liga Juara-Juara pada Rabu ini selepas mendapat suntikan semangat dengan kemenangan 3-0 ke atas Tottenham dalam saingan Liga Perdana.
Kemenangan tersebut sekali gus meredakan tekanan kepada pengendalinya Ole Gunnar Solskjaer selepas kekalahan memalukan 5-0 kepada Liverpool.
Ronaldo pastinya bersemangat untuk memulakan perlawanan selepas menamatkan kemarau jaringan menerusi jaringan menarik dan membantu gerakan menghasilkan gol Edinson Cavani untuk gol kedua United.
Penampilan semula ke Liga Perdana cukup memberikan kesan buat Ronaldo ketika menghasilkan empat gol dalam tujuh perlawanan Liga Perdana – kurang separuh daripada jaringan dalam 10 perlawanan dilakukan Mohamed Salah untuk Liverpool.
Ronaldo tampil dengan perwatakan berbeza dalam Liga Juara-Juara dengan meledak dua gol lewat ketika berdepan Villarreal dan Atalanta untuk membawa United ke puncak Kumpulan F.
Di sebalik jaringannya, Ronaldo dikritik kerana kurang membantu barisan pertahanan pasukan yang hanya dua kali mencipta rekod bersih dalam perlawanan apabila tidak melepaskan sebarang jaringan sepanjang musim ini.
Terdapat juga rungutan beberapa rakan sepasukan di kelab terdahulu Juventus yang merasai perkara sama tetapi bekas bintang Real Madrid berkata dia akan menutup mulut mereka yang melemparkan tuduhan itu.
“Saya tahu bila pasukan memerlukan bantuan saya dari sudut pertahanan,” katanya kepada Sky Sports. – AFP
