Ronaldo sah milik Juventus

MADRID, 11 Julai – Pemain hebat bola sepak moden, Cristiano Ronaldo telah meninggalkan Real Madrid untuk menyertai juara Itali, Juventus dengan nilai 100 juta euro (AS$117 juta) lewat semalam, dengan bintang Portugal itu berkata ‘sudah tiba masanya bagi lembaran baharu’ dalam hidupnya.

Juventus telah mengesahkan bahawa Ronaldo telah menandatangani kontrak empat tahun dan yuran perpindahan itu, termasuk 12 juta euro bayaran tambahan, akan dibayar dalam tempoh dua tahun, dengan media Sepanyol melaporkan bahawa dia akan menerima gaji sebanyak 30 juta euro semusim.

Penyerang berusia 33 tahun itu dijangka menjalani ujian perubatan di Turin minggu depan sebelum didedahkan oleh kelab barunya.

Di laman sesawang Real, pemenang Ballon d’Or sebanyak lima kali itu berkata masanya di ibu negara Sepanyol, ketika dia menjadi rekod penjaring terbanyak, merupakan detik paling mengembirakan dalam hidupnya.

“Saya hanya mempunyai perasaan sangat berterima kasih kepada kelab ini, kepada penyokong dan bandar ini,” katanya.

Gambar fail yang diambil pada 3 April 2018 menunjukkan Cristiano Ronaldo menjaringkan gol akrobatik dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara menentang Juventus. Real Madrid telah mengesahkan perpindahan Ronaldo ke Juve dengan nilai 100 juta euro. – AFP

“Tetapi saya fikir masanya sudah tiba untuk membuka lembaran baharu dalam hidup saya dan sebab itu saya meminta kelab menerima permintaan saya untuk berpindah.

“Saya meminta semua orang, terutamanya penyokong kelab, untuk memahami saya.”

Juventus akan memulakan jadual pra musim mereka dengan perlawanan persahabatan menentang Bayern Munich pada 25 Julai ini di Philadelphia, sementara Ronaldo mungkin membuat penampilan kompetitif pertamanya bersama kelab bulan depan, dengan jadual Serie A musim depan bakal diumumkan pada 20 Julai.

Ketika kemenangan Liga Juara-Juara ke atas Liverpool, Ronaldo memberikan petanda bahawa dia mempertimbangkan untuk meninggalkan Santiago Bernabeu.

Kini dengan perpindahan itu menjadi realiti, Juventus berharap Ronaldo mampu mengekalkan bisanya di depan gawang selama beberapa tahun akan datang dan membantu mereka menamatkan penantian lama untuk menjadi juara Eropah buat pertama kali sejak 1996.

Ia merupakan yuran perpindahan terbesar bagi pemain yang berusia melebihi 30 tahun, namun juara Itali itu mempertaruhkan harapan pada Ronaldo agar prestasinya berpanjangan seperti bekas penjaga gol mereka, Gianluigi Buffon, 40.

Pemain sayap yang beralih menjadi penyerang tengah itu telah menjaringkan 451 gol untuk Los Blancos daripada 438 perlawanan, memecahkan rekod jaringan kelab sebelum ini yang dipegang oleh Raul, dengan 323 gol. – AFP