Ronaldo terlepas 4 aksi antarabangsa

LISBON, 5 Okt – Cristiano Ronaldo diketepikan daripada skuad Portugal bagi empat aksi antarabangsa berikutnya, menurut jurulatih kebangsaan Fernando Santos hari ini, beberapa hari selepas tuduhan merogol terhadap bintang Juventus itu timbul semula.

Santos memberitahu sidang akhbar, beliau dan Presiden Persekutuan Bolasepak Portugal (FPF) Fernando Gomes bercakap dengan Ronaldo dan ‘kami bersetuju pemain itu tidak dipanggil bagi tugasan kali ini.’

“Saya tidak akan mendedahkan butiran mengenai perbualan kami bertiga,” kata Santos apabila didesak wartawan.

Pemenang lima anugerah Ballon d’Or itu terlepas dua aksi antarabangsa Portugal bulan lalu. Ketika itu, Santos menyatakan ketiadaan pemain berusia 33 tahun itu hanya bersifat sementara dan bertujuan membantu bintang serangan itu menyesuaikan diri susulan perpindahannya dari Real Madrid ke Juventus.

“Saya tidak akan menyatakan perkara sama sekarang,” kata Santos apabila di-tanya jika alasan mengenainya sama.

Penyingkiran itu hadir ketika Ronaldo, seorang daripada pemain paling berjaya dan atlet sukan terkaya, berdepan tuduhan merogol.

Bulan lalu, wanita warga Amerika Syarikat, Kathryn Mayorga, mendakwa Ronaldo dalam pertuduhan 32 muka surat yang difailkan di mahkamah daerah di Nevada, merogolnya pada 13 Jun 2009.

Ditanya mengenai dakwaan itu, Santos mempertahankan pemainnya. “Saya amat kenal Cristiano Ronaldo dan percaya apabila dia menyatakan tidak pernah melakukan kesalahan jenayah sebegitu.”

Ronaldo, kapten Portugal, akan terlepas tiga aksi Liga Negara Eropah menentang Poland pada 17 Oktober depan dan menentang Itali serta Poland bulan depan selain aksi persahabatan menentang Scotland hujung bulan ini. – AFP

Gambar fail pada 1 Julai lalu menunjukkan Ronaldo ketika tiba di Lapangan Terbang Zhukovsky. – AFP