Ronaldo tunjuk taring tundukkan Newcastle

UNITED KINGDOM, 12 SEPT – Cristiano Ronaldo mengakui kepulangan ‘yang sukar dipercayai’ ke Manchester United memang di luar jangkaannya ketika bintang Portugal itu meledakkan dua gol dalam kemenangan 4-1 ke atas Newcastle semalam.

Ronaldo kembali ke United dalam perpindahan mengagumkan dari Juventus bulan lalu, 12 tahun selepas meninggalkan Old Trafford untuk menyertai Real Madrid.

Pemain berusia 36 tahun itu melakukan kemunculan pertama buat kali kedua di United dengan bergaya apabila meledak gol setiap babak di hadapan 76,000 peminat yang memujanya.

Dua gol daripada Ronaldo diikuti dengan jaringan Bruno Fernandes dan Jesse Lingard membantu United melonjak ke puncak carta Liga Perdana Inggeris.

Ia adalah kepulangan yang lebih baik daripada dibayangkan Ronaldo ketika penantian untuk kembali menyarung semula jersi nombor tujuh popular United.

Aksi Cristiano Ronaldo semasa berlari membawa bola pada perlawanan EPL antara Manchester United dan Newcastle United di Stadium Old Trafford semalam. – AP

“Saya tidak menjangkakan untuk menjaringkan dua gol. Saya jangkakan satu bukan dua. Saya harus menghargai peminat dan apa yang mereka lakukan kepada saya hari ini. Saya sangat bangga dengan mereka,” katanya kepada BBC Sport.

“Sudah tentu saya gembira kerana menjaringkan gol, saya tidak menafikannya tetapi yang penting adalah pasukan dan pasukan beraksi dengan baik.

“Ia sukar dipercayai. Ketika saya memulakan perlawanan saya begitu gementar, sumpah. Ia adalah perkara biasa kerana saya tidak menjangkakan mereka akan menyanyi dengan melaungkan nama saya sepanjang perlawanan.

“Saya sangat gementar tetapi mungkin saya tidak menunjukkannya tapi memang benar. Penerimaan peminat begitu luar biasa tetapi saya berada di sini untuk memenangi perlawanan dan membantu pasukan.

“Ia detik yang sukar dipercayai. Saya sangat gementar dan hanya memikirkan mahu beraksi dengan baik dan menunjukkan saya masih mampu membantu pasukan.”

Selepas keluar dari United selama lebih dari satu dekad, dia telah membuktikan dirinya sebagai salah seorang pemain terbaik sepanjang masa di Real Madrid dan Juventus. – AFP