Rondaan cegah jenayah di seluruh negara

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Dalam menangani permasalahan, menjaga keselamatan diri dan juga harta benda secara berhemah dan bijak, beberapa aktiviti rondaan cegah jenayah sedang giat dilaksanakan oleh pengawasan kejiranan (PK) bagi memastikan negara ini berada dalam keadaan aman sejahtera dan harmoni.

Dalam pada itu, Focal Point PK Balai Polis Kuala Belait telah mengadakan aktiviti rondaan cegah jenayah bersama PK Kampung Sungai Teraban, dengan dihadiri oleh pemangku ketua kampung, Awang Zaini bin Haji Kaderi bersama dua orang ahli PK.

Rondaan dimulakan dari kawasan Balai Raya, sepanjang Sungai Dua sehingga Sungai Tujoh, kawasan Rasau dan rumah-rumah kediaman persekitaran kampung.

Sementara itu, PK Kampung Labi II turut sama mengadakan rondaan serupa, dengan diketuai oleh Sarjan Mejar 2729 Gudin bin Sunggoh bersama Ketua Kampung Labi II, Haji Matussin bin Matzin. Rondaan tersebut bertumpu di kawasan taman peranginan serta rumah-rumah penduduk di kawasan berkenaan.

Di Daerah Tutong pula, empat rondaan cegah jenayah PK turut diadakan sepanjang minggu ini, antara yang terlibat ialah PK Kampung Danau, PK Kampung Sungai Kelugos dan PK Kampung Bekiau dan Pengkalan Mau.

Anggota polis semasa melakukan pemeriksaan ke atas beberapa individu semasa operasi rondaan cegah jenayah, kelmarin.
Anggota PK mengadakan taklimat ringkas sebelum memulakan rondaan cegah jenayah.

Rondaan tersebut melibatkan pegawai dan penolong pegawai menguasa balai, ketua-ketua kampung dan ahli PK dan rondaan tidak menemukan sebarang kegiatan yang mencurigakan.

Manakala, di Daerah Temburong pula, seramai lima orang anggota Balai Polis Bangar dan lapan orang ahli PK Kampung Puni telah menjalankan aktiviti rondaan cegah jenayah berdekatan kawasan kampung Puni dan Ujong Jalan, Mukim Bangar.

Mengetuai rondaan tersebut ialah Penolong Menguasa Balai Polis Bangar, Inspektor Percubaan Iman Aqilah Fikriah binti Haji Mohd Syafiee.

Operasi pada hari tersebut menumpukan di kawasan-kawasan berdekatan bangunan-bangunan kerajaan, rumah-rumah kosong, kawasan penurunan perahu dan persekitaran di Ujong Jalan dan tiada sebarang aktiviti pelanggaran undang-undang ditemukan.

Manakala di Daerah Brunei dan Muara, lima rondaan turut dijalankan, melibatkan beberapa buah PK antaranya ialah PK Kampung Pancha Delima, PK Kampung Sengkurong ‘A’, PK Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Lambak Kiri, PK Kampung Kulapis, PK Kampung Rimba dan PK STKRJ Kampung Rimba, Mukim Gadong A.

Program cegah jenayah akan terus dipergiatkan dalam memberi kesedaran kepada masyarakat awam mengenai kepentingan menjaga keamanan dan keharmonian di negara ini adalah tanggungjawab yang perlu dipikul dan dipupuk bersama-sama.