Rondaan cegah jenayah digiatkan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 FEB – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dengan kerjasama ahli pengawasan kejiranan (PK) telah menjalankan operasi rondaan pencegahan jenayah di beberapa kawasan di Daerah Brunei dan Muara, baru-baru ini.

Rondaan di beberapa sekitar Kampung Lumapas diketuai oleh Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Kampong Ayer, Inspektor Abdul Halim bin Abdullah Chok, bersama Pemangku Ketua Kampung Lumapas ‘A’, Haji Saini bin Haji Maidin berserta keanggotaan balai dan ahli-ahli PK kampung berkenaan.

Rondaan meliputi ke kawasan Perumahan STKRJ Kampung Lumapas, Jalan Kampung Kilugus, bangunan-bangunan kerajaan, tapak klinik hospital lama dan persimpangan-persimpangan di Kampung Panchor Lumapas.

Sementara itu, Unit Pengawasan Kejiranan (UPK) Balai Polis Muara juga telah membuat rondaan yang berasingan.

Operasi yang disertai anggota balai dan beberapa ahli PK, diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Muara, ASP Hajah Nur Azhani binti Haji Johaiani.

Rondaan pencegahan jenayah yang dijalankan di Pantai Meragang. – Gambar serahan PPDB

Berpandukan maklumat yang diterima, rondaan tersebut bertujuan untuk membuat pemantauan serta menjalankan tindakan pencegahan di kawasan yang dikenal pasti berpotensi sering berlaku kejadian jenayah dan lokasi kali ini ditumpukan di sekitar RPN Kampung Meragang, Pantai Meragang, kawasan taman permainan Kampung Meragang dan di kawasan Jalan Kemangsi.

Turut hadir mengikuti rondaan tersebut adalah Pemangku Ketua Kampung RPN Meragang, Awang Mohammad bin Tamin.

Di samping itu juga, rondaan sama telah dijalankan oleh Balai Polis Berakas yang diketuai oleh Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Berakas, Inspektor Haji Abu Bakar bin Haji Abdul Rahman bersama ahli anggota balai yang menumpukan rondaan di Kawasan 1 RPN Lambak Kanan, Mukim Berakas ‘B’.

Sepanjang rondaan tersebut tidak ada menemukan sebarang kegiatan jenayah dan aktiviti yang melanggar perundangan negara ini.

Operasi rondaan pencegahan jenayah melalui program PK, merupakan antara salah satu strategi pencegahan yang diusahakan oleh PPDB bersama masyarakat awam.

Aktiviti dalam program tersebut bukan sahaja menjadi cara untuk PPDB berganding bahu bersama masyarakat awam dalam membendung jenayah, malahan terbukti ada memberi kesan bagi pengurangan kadar terjadinya jenayah.

PPDB berharap dengan usaha program itu akan memberikan kesedaran kepada orang awam akan betapa pentingnya gandingan bersama masyarakat dalam memantapkan lagi semangat kejiranan dan bersama membanteras dan mencegah jenayah.