Rondaan cegah jenayah giat dijalankan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWANM 7 OGOS – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Program Pengawasan Kejiranan (PK) baru-baru ini mengadakan rondaan pencegahan jenayah di Kampung Labu Estet, Senukoh dan Piasau-Piasau di Daerah Temburong.

Rondaan diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Bangar, Inspektor Muhammad Ajib bin Haji Ahmad Awal dan empat orang anggota polis dari balai tersebut berserta enam orang ahli PK.

Rondaan bertujuan untuk mencegah dan mengurangkan kadar jenayah di kawasan terbabit.

Dalam pada itu, PPDB dan PK Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Mentiri turut mengadakan rondaan serupa yang diketuai oleh Penolong Pegawai Menguasai Balai Polis Muara, Inspektor Mohd Firnasrulillah Haji Abdul Ghani bersama Pemangku Ketua Kampung, Haji Abu Bakar bin Pungut.

Pada rondaan itu, mereka tidak menemui sebarang kejadian mencurigakan atau berunsur jenayah.

Di Kampung Limau Manis pula, PPDB dan PK kawasan tersebut mengadakan perjumpaan dan taklimat mengenai usaha berterusan mengekang sebarang kegiatan berbaur jenayah.

Setelah perjumpaan, mereka mengadakan rondaan di sekitar Kampung Masin diketuai oleh Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Limau Manis, Inspektor Aminuddin bin Haji Metussin bersama Pemangku Ketua Kampung Masin, Awang Moksin bin Haji Kamis.

Manakala pada rondaan di Kampung Batang Mitus, tiga ahli PK melakukan kerja-kerja pemantauan jenayah bersama anggota Balai Polis Lamunin, diketuai Inspektor Zulfadli bin Haji Awang Muhd Yusof dan Pemangku Ketua Kampung Batang Mitus, Awang Suhaili bin Alas.

Rondaan-rondaan ini dihasratkan dapat mempertingkatkan kewaspadaan dan kepekaan terhadap kepentingan keselamatan serta memastikan persekitaran negara bebas daripada kegiatan jenayah.

Penduduk kampung bekerjasama dengan anggota polis dalam menjaga kesejahteraan kampung menerusi program PK. – Gambar serahan PPDB