Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 2 Ogos – Seramai 20 orang ahli Pengawasan Kejiranan (PK) Mukim Belait dan Mukim Seria telah melibatkan diri membantu membuat rondaan dan kawalan bersama Pasukan Polis Diraja Brunei semasa berlangsungnya persembahan pementasan Malam Kebudayaan Daerah Belait di sini.
Pihak polis dalam kenyataannya berkata penglibatan PK pada malam tersebut memperlihatkan kesungguhan setiap ahli yang terlibat, terdiri daripada kalangan sukarelawan, dalam sama-sama menjayakan objektif program PK iaitu ‘Bersama Jiran Mencegah Jenayah’.
Menurut polis, dengan adanya sokongan yang telah diberikan oleh ahli-ahli PK, ia diharap akan dapat menyuntik lagi semangat penduduk setempat untuk ikut serta dalam program tersebut, bagi sama-sama menanai tanggungjawab bersama menjaga keselamatan, keamanan dan keharmonian negara.

Sementara itu, rondaan pencegahan jenayah PK turut dikendalikan oleh Balai Polis Lamunin bersama ahli PK Kampung Kiudang, Mungkom Tutong.
Mengetuai rondaan tersebut ialah Pegawai Menguasa Balai Polis Lamunin, Inspektor Mohd Zulfadli bin Yusof beserta empat orang anggota balai dan lima orang ahli PK Kampung Kiudang, Mungkom.
Dalam operasi tersebut, tumpuan rondaan bermula dari kawasan Perkuburan Islam Bukit Dapa sehingga ke sepanjang Jalan Kecil Kampung Padnunok, bagaimanapun tiada sebarang aktiviti yang mencurigakan ditemukan sepanjang rondaan dijalankan.