Rondaan PK bongkar kegiatan judi

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OGOS – Rondaan pengawasan kejiranan (PK) yang giat dijalankan bersama ahli PK Kampung Belimbing dan Subok telah membuahkan hasil apabila satu kegiatan aktiviti perjudian haram dibongkar di sebuah rumah di Kampung Belimbing pada tengah malam tadi.

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini, menjelaskan bahawa sebelum serbuan, maklumat awal telah diperolehi sehingga mengaktifkan rondaan PK di kawasan berkenaan yang diketuai oleh Penolong Penguasa Polis Dayangku Siti Munirah binti Pengiran Haji Damit berserta anggota focal point Balai Polis Pusat.

Turut hadir ialah Pemangku Ketua Kampung Subok, Awang Lawi bin Haji Lamat dan Pemangku Ketua Kampung Belimbing, Awang Daud bin Jihan yang secara kebetulan singgah ke sebuah rumah seraya mendapati beberapa individu sedang leka bermain aktiviti perjudian.

Pihak polis berjaya menahan tiga orang kaki judi yang berusia sekitar 20 hingga 40 tahun yang terdiri daripada warga tempatan.

Aktiviti tersebut melibat-kan permainan perjudian jenis daun terup dan sejumlah wang tunai dipercayai hasil daripada perjudian haram, yang turut dirampas.

Kesemua suspek dibawa ke Balai Polis Pusat Bandar Seri Begawan bagi siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka Penggal 28.

PPDB dalam kenyataannya menegaskan kepada masyarakat awam bahawa mengendalikan kegiatan perjudian ditegah sama sekali bahkan ia menyalahi undang-undang.

PPDB dengan kerjasama ahli-ahli PK akan terus komited menjalankan rondaan pencegahan jenayah di kawasan tadahan kampung masing-masing dan pihak polis akan mengambil tindakan sewajarnya kepada setiap kegiatan jenayah yang dilakukan di negara ini.

Daun terup yang dipercayai digunakan untuk berjudi bertaburan semasa serbuan berkenaan. – Gambar serahan PPDB