WASHINGTON, 28 Jun – Penyerang Everton, Wayne Rooney (gambar) akan tiba di Washington hari ini untuk memuktamadkan perpindahan ke kelab Major League Soccer, D.C. United, kata sumber kepada AFP.
Bekas kapten England dan Manchester United itu dijangka mengikat kontrak selama dua tahun setengah dengan yuran perpindahan dianggarkan sekitar $13 juta.
Menurut laporan Washington Post, D.C. United sudah mencapai persetujuan untuk membayar yuran buat penyerang berusia 32 tahun itu tanpa mendedahkan jumlah sebenarnya.
Rooney tidak boleh beraksi buat D.C. United sehingga pasaran perpindahan dibuka pada 10 Julai ini.
Bagaimanapun, kelab itu berharap pemain itu dapat memulakan latihan secepat mungkin, dengan kemungkinan besar pada hujung minggu ini.

Andai menjadi kenyataan, khidmat Rooney sempat diguna D.C. United untuk baki 20 perlawanan musim ini.
Walaupun pihak pengurusan D.C. United menolak untuk mengeluarkan sebarang komen, namun jurulatihnya, Ben Olsen berkata, beliau pasti mengalu-alukan ketibaan pemain yang berkaliber seperti Rooney.
“Ia adalah berita mengujakan. Saya fikir kemasukan pemain baru akan membantu kelab ini dari pelbagai cara yang berbeza.”
Bekas bintang Manchester United, Rooney terkait dengan perpindahan ke D.C. United beberapa minggu lepas. Dia terbang ke Washington bulan lepas untuk berbincang dengan kaki-tangan United dan menjelajah stadium baharu kelab itu.
Sementara itu, D.C. United kini berada di tangga terbawah saingan MLS Eastern Conference selepas sekadar mengutip dua kemenangan, empat seri dan enam kekalahan. – AFP

































