LONDON, 22 Jan – Wayne Rooney telah menjadi penjaring terbanyak sepanjang masa Manchester United apabila jaringan hebatnya di masa kecederaan telah menyelamatkan keputusan seri 1-1 di Stoke.
Rooney telah memintas 249 gol Bobby Charlton bagi United apabila dia menyudahkan sepakan percuma di masa kecederaan.
Jaringan ke-250 Rooney itu telah menyemarakkan lagi kerjaya gemilangnya bersama United, jaringan kelimanya bagi musim ini, dan ia tiba tepat pada masanya selepas dia diturunkan sebagai pemain simpanan dalam sebahagian besar kempen ini.
Ia juga sangat diperlukan oleh United, yang ketinggalan di minit ke-19 selepas Juan Mata cuba menampan hantaran rendah Erik Pieters yang kemudiannya masuk ke gawang sendiri.
Jose Mourinho memasukkan Rooney di minit ke-67 dan bintang England itu, yang telah mengharungi dua perlawanan tanpa sebarang gol sejak menyamai rekod Charlton dalam kemenangan Piala FA ke atas Reading 7 Januari lalu, terlepas peluang pertamanya apabila tandukannya tersasar dari jarak enam ela.

Tetapi Rooney enggan mengalah dan, dengan Charlton menyaksikan di stadium, keajaibannya tiba empat minit di masa kecederaan dengan lencongan sepakan percumanya berjaya menewaskan penjaga gol Stoke, Lee Grant dan menuju ke sudut atas gawang.
Keperwiraan Rooney itu telah meneruskan tanpa kalah United dalam 13 perlawanan, tetapi agak kecewa dengan keputusan itu kerana United ketinggalan tiga mata daripada pasukan empat teratas.
“Ia sangat bermakna. Satu penghormatan dan saya begitu bangga,” kata Rooney, yang telah menyertai United dari Everton pada tahun 2004.
“Ia sesuatu yang tidak saya sangka ketika saya mula-mula menyertai kelab ini. Para pemain yang telah bermain untuk kelab ini adalah pemain kelas dunia.
“Menjadi penjaring terbanyak sepanjang masa adalah satu penghormatan besar.” – AFP