Ros jepun lestarikan tanah pertanian

Oleh Nurdiyanah R.

Keindahan bunga berwarna-warni yang mekar pastinya mampu mewujudkan ketenangan kepada mata-mata yang memandangnya.

Namun di sebalik keindahannya tersimpan pelbagai kebaikan sehingga mampu melestarikan alam sekitar di mana bumi kita berpijak ini.

“Bagi mengatasi masalah serangga perosak di sawah padi dan pada masa yang sama mengurangkan penggunaan racun perosak, itulah matlamat besar kami dalam melaksanakan program penanaman bunga ros Jepun ini yang sekali gus membuka minda orang ramai yang bukan sahaja terdiri daripada para penuntut bahkan juga para petani di negara ini secara amnya,” Rice Specialist dari LiveWire AgroBiz, Nur Wahidah binti Hambali menyatakan kepada penulis mengenai program penanaman bunga ros Jepun di sekitar 10 hektar ladang padi bagi memajukan projek menerusi Skim Usahawan Pertanian Padi berkontrak selama tiga tahun di bawah LiveWIRE Brunei dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Agro-Teknologi, Kampung Wasan yang termeterai memorandum persefahaman (MoU) pada 23 Januari lalu bagi merealisasikan Projek Agropreneur Padi AgroBiz LiveWIRE.

Pertanian secara lestari

Nur Wahidah dari Malaysia yang turut membimbing kira-kira 40 orang penuntut IBTE Kampus Agro-Teknologi dalam jurusan pertanian itu, menjelaskan bahawa penanaman bunga-bungaan seperti ros Jepun ini merupakan salah satu teknik pertanian secara lestari atau sustainable farming yang mana bunga-bunga ini secara langsung akan dapat membantu serta mengawal serangga secara ekologi.

“Teknik penanaman bunga-bungaan ini lebih dikenali sebagai Ecological Engineering yang mana ia dapat membantu meningkatkan populasi serangga musuh semula jadi di kawasan sawah padi sehingga akhirnya dapat membantu mengawal serangga perosak yang boleh membantutkan perkembangan produktiviti hasil pertanian padi,” tambah beliau yang sudah berpengalaman dalam bidang pertanian sejak tahun 2004.

Dayang Nur Wahidah semasa ditemui penulis, baru-baru ini.
Antara proses penanaman bunga Ros Jepun yang bermula daripada sesi semaian sehingga penanamannya di kawasan sawah padi.
Antara penuntut IBTE Kampus Agro-Teknologi jurusan pertanian yang menjalankan program penanaman bunga ros Jepun di sekitar 10 hektar ladang padi.

Perumah serangga musuh semula jadi

Adapun dengan adanya penanaman bunga ros Jepun ini sebagai bunga pengiring bagi pertanian padi itu memiliki faedah yang tersendiri. Antaranya serangga-serangga perosak padi sememangnya akan hanya tertumpu dalam kawasan tanaman bunga yang berwarna-warni.

Lebih-lebih lagi bunga ini bagaikan perumah bagi serangga musuh semula jadi. Oleh itu apabila semakin banyak serangga musuh semula jadi berada di sawah maka akan terkawallah populasi serangga perosak.

Dengan kata lain, bunga ros Jepun ini bagaikan perumah bagi serangga-serangga baik termasuklah serangga pendebungaan seperti lebah kelulut dan kumbang yang secara tidak langsung mampu meningkatkan pendebungaan dalam proses hasil pertanian.

Selain itu, dengan adanya teknik penanaman bunga ros Jepun ini, ia juga secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan penggunaan racun dan bahan-bahan kimia dalam kalangan petani sehingga dapat menghasilkan produk-produk hasil tanaman padi dan juga pertanian yang lain dalam keadaan kualiti yang selamat untuk dikonsumsi oleh manusia.

Warna terang menjadi tarikan

Dalam pada itu Nur Wahidah turut menjelaskan bahawa kebiasaannya bunga ros Jepun yang memiliki warna-warna yang terang seperti merah, kuning dan putih menjadi pilihan utama. Ini kerana warna-warna sebegitu akan menarik kehadiran serangga musuh semula jadi untuk menentang serangga perosak, di samping meningkatkan produktiviti hasil tanaman yang diusahakan di sawah padi.

“Selain itu, penanaman bunga Ros Jepun ini juga memiliki fungsi untuk menghalang tumbuhan rumput sejenis rumpai atau lalang daripada memenuhi kawasan sawah. Ini kerana jika hal sedemikian terjadi maka ia akan menarik serangga perosak untuk bertelur dan membiak di kawasan-kawasan semak tersebut,” ujarnya dengan lebih terperinci.

Menitikberatkan penjagaan dengan teratur

Di samping itu, Nur Wahidah turut menerangkan bahawa bunga ros Jepun ini memiliki jangka hayat lama jika dipantau dengan teknik penjagaan dan pembajaan yang teratur iaitu sekurang-kurangnya diberikan baja berasaskan bahan-bahan organik berasaskan flora fauna seperti ikan, tumbuh-tumbuhan hijau, kulit telur, bawang putih, halia, lengkuas dan akar-akar kayu.

“Dengan adanya penggunaan bahan-bahan organik tersebut, ia pastinya tidak akan mengancam serangga-serangga musuh semula jadi dan secara tidak langsung dapat mengawal serangga perosak.

“Walau bagaimanapun baja kimia seperti racun rumput hanya boleh digunakan pada kadar yang minimum sahaja pada peringkat awal sesi penanaman dalam pertanian seperti racun serangga dan kulat.

“Baja organik ini selamat dan mesra alam serta tidak mengganggu ekosistem alam, selain mampu meningkatkan produktiviti. Pokok yang sihat menggunakan baja organik akan memiliki antibodi tersendiri iaitu tidak mudah diganggu oleh serangga perosak.

“Meskipun pada peringat awal tampak lambat keberkesannya namun hakikatnya lama-kelamaan ia akan melindungi tanaman dalam jangka masa panjang. Hal ini amat berbeza dengan penggunaan baja kimia pada proses tanaman yang mana ia sememangnya cepat memberi kesan sampingan namun ia tidak mampu menjadikan tanaman tersebut tahan lama,” jelasnya lagi.

Bersama menuju ke arah pertanian lestari

Oleh itu, Nur Wahidah turut berharap dengan adanya program sebegini, ia akan dapat memberi pendidikan awal kepada para petani untuk mengurangi penggunaan racun dengan memanfaatkan penanaman bunga-bungaan bukan sahaja di kawasan sawah padi bahkan juga di kawasan persekitaran rumah atau kediaman.

“Biarlah kita berbalik kepada fitrah alam dengan memanfaatkan sumber alami sebagai bahan-bahan asas untuk menyuburkan sektor pertanian kita sehingga mampu mengeluarkan produktiviti yang berkhasiat dan selamat untuk dikonsumsi bersama,” katanya semasa mengakhiri sesi temu bual bersama penulis baru-baru ini.