Rosario tumpuan peminat Messi

ROSARIO – Bola sepak bukanlah aktiviti kegemaran yang diminati oleh Lionel Messi.

Beliau hanyalah seorang kanak-kanak yang biasa di kejiranan La Bajada Rosario Argentina, di mana beliau banyak menghabiskan masa dengan bermain basikal bersama kawan-kawannya, membina rumah menggunakan ranting dan batu, bermain kejar-kejaran dan mencuri buah lemon jiran untuk dijadikan jus.

Bandar Rosario menjadikan cerita-cerita tersebut untuk dijadikan satu tarikan pelancongan di sana bagi meraikan wira kampung mereka, seorang bintang sukan yang telah memenangi sebanyak enam kali ‘Golden Ball’ sebagai pemain bola sepak dunia yang belum pernah terjadi sebelum ini.

Menariknya, lawatan yang disusun oleh balai bandar Rosario adalah percuma dan mempunyai 10 perhentian serta disediakan satu aplikasi penterjemahan untuk beberapa bahasa bagi lawatan tersebut.

Sebuah rumah berwarna kelabu di pertengahan ‘Israel Street’ yang dipagari besi merupakan rumah asal kelahiran Messi, meskipun kini tiada orang yang tinggal di sana lagi namun ia masih kepunyaan keluarga Messi.

Lukisan Messi menyarungkan jersi Argentina di dinding bandar Rosario. – AP
Salah satu ruangan dalam muzium yang memperlihatkan liku-liku perjalanan Messi sebagai seorang pemain bola profesional di Muzium sukan Rosario. – AP
Jersi pertama Messi semasa bermain untuk akademi Newell’s Old Boys berserta kad pendaftaran rasminya di Muzium sukan Rosario. – AP

Walau bagaimanapun, kejiranan Messi tidak pernah merasa malu tentang hubungan mereka walaupun terdapat lukisan yang didedikasikan untuk Messi yang menyarungkan jersi Argentina nombor 10 di dinding-dinding jalan dicat warna hitam.

Jiran-jiran Messi dan kawannya sering kali bercerita tentangnya kepada pelancong.

“Leo merupakan anak kecil yang biasa sahaja sama seperti kanak-kanak lain di luar sana,” kata rakan sepermainan Messi semasa kanak-kanak, Diego Vallejos, kepada The Associated Press di sebuah padang bola El Campito Club.

“Kami sama-sama terjatuh, luka akibat bermain basikal. Kami bermain di jalanan dengan belon air dan melontarkannya ke arah bas yang melalui kawasan itu,” kata Vallejos yang berusia lebih satu tahun dari Messi.

Dalam lawatan tersebut juga mempamerkan tempat Messi bersekolah dan juga Abanderado Grandoli Club, kelab pertama Messi belajar bermain bola.

“Apa yang kami ingin tekankan ialah Leo merupakan anak kelahiran bandar ini, terdapat banyak cerita tentang kelahiran bintang handalan ini di sini,” kata Santiago Valenti dengan agensi pelancongan Rosario.

Messi dilahir pada 24 Jun 1987 di Hospital Italiano Garibaldi di Rosario. Beliau tinggal di bandar ini sehingga tahun 2000 sebelum beliau pindah ke Barcelona.

Baru-baru ini bandar tersebut telah membuka sebuah muzium sukan, beberapa buah blok dari kediaman lama Messi. Dalam muzium tersebut memperlihatkan kehidupan beberapa orang atlet ternama yang berasal dari bandar tersebut dalam dunia sukan permotoran, tinju, bola keranjang dan bola sepak.

Ruangan bahagian Messi dalam muzium tersebut diwarnai gabungan monumen dari Rosario dan Barcelona berserta ungkapan: “All that I did, I did for soccer.” Dua buah skrin besar memaparkan gol dan testimoni dari temannya.

“Idea ini bukanlah untuk memberi penghormatan kepada kejayaan sukannya,” kata penyelaras muzium Juan Echeverría. “Ia untuk menghargai liku-liku perjalanannya, setiap apa yang dilalui oleh seorang atlet untuk menjadi yang terbaik pasti ada kesukaran yang mereka sudah lalui.”

Muzium telah menghubungi keluarga Messi, ibu dan ayah Messi telah bersetuju untuk memberikan beberapa sumbangan kepada muzium tersebut. Salah satu barangan yang dipaparkan ialah sepasang jersi pertama Messi berwarna merah berkolar putih, dan juga kad pendaftaran rasmi Messi sebagai pemain akademi Newell’s Old Boys berserta gambarnya.

Akademi Newell terletak di pusat Malvines, Rosario. Di sanalah bakat Messi bersinar menggelecek bola di hadapan lawannya yang lebih besar darinya.

“Di sinilah ia bermula,” kata salah seorang pekerja akademi, Lisandro Conte. Messi tidak pernah bermain untuk Newell. “Pada ketika itu ada pemain yang lebih menonjol dan kami memilih mereka bukan Messi,” kata Conte.

Namun, Messi pernah berkata, beliau akan menghabiskan sisa kariernya untuk bermain di Newell untuk kelab kampung halamannya setelah karier profesionalnya di Barcelona, salah sebuah pasukan gergasi di La Liga. – AP