Rose bersedia bertemu Gladbach

BERLIN, 24 SEPT – Marco Rose tidak mengheboh kontroversi yang menyelubungi kepulangannya ke Borussia Moenchengladbach di Bundesliga esok apabila pasukannya, Borussia Dortmund, yang diterajui oleh penyerang bintang, Erling Braut Haaland, bertemu kelab yang ditinggalkannya musim lalu.

“Saya cuba tidak membaca mengenai desas-desus tersebut,” katanya, dan menambah dia tidak sabar untuk bertemu bekas pemainnya di Gladbach. Rose menegaskan dia akan menumpukan pada ‘perkara penting iaitu mengutip tiga mata’.

Walau bagaimanapun, pengurus pasukan Dortmund berusia 45 tahun itu menjangkakan cemuhan di Borussia Park dari penyokong Gladbach, sejak beritanya tersebar pada Februari lalu bahawa dia akan meninggalkan kelab selepas dua tahun untuk ke Dortmund.

“Kami diperdayakan olehnya,” beritahu Michael Weigand, seorang penyokong kelab kepada majalah sukan Bild.

Sebaik sahaja Rose menjelaskan dia bakal meninggalkan kelab, persembahan Gladbach mula menurun dan tersingkir dari kedudukan Liga Juara-Juara.

Dengan mencatat satu kemenangan daripada lima perlawanan pada musim ini, keputusan yang gagal meningkatkan persembahan kelab di bawah kendalian pengurus baharu, Adi Huetter, menyebabkan Gladbach berada di kedudukan tiga terbawah.

Pengurus sukan Gladbach, Mac Eberl berkata dia ‘memahami perasaan peminat yang kurang gembira, tetapi ia bukan Marco Rose yang akan bermain menentang Borussia Moenchengladbach dan tidak perlu membuat kekecohan’. – AFP

Reaksi Marco Rose memberikan arahan kepada pemainnya. Rose menegaskan bahawa dia tidak sabar bertemu bekas pasukannya Borussia Moenchengladbach. – AP