Rose nekad ‘ikat’ Haaland, Bellingham

BERLIN, 17 SEPT – Jurulatih Borussia Dortmund, Marco Rose berkata dia akan melakukan segalanya untuk mengekalkan Jude Bellingham dan Erling Braut Haaland selepas kedua-dua bintang muda tersebut menarik minat banyak kelab utama Eropah.

Dortmund, ketika ini menduduki tangga ketiga di Bundesliga, akan menerima kunjungan Union Berlin pada Ahad dan berusaha untuk meneruskan rekod empat kemenangan berturut-turut, termasuk kemenangan 2-1 di Liga Juara-Juara ke atas Besiktas pada Rabu di mana Bellingham dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.

Pemain tengah England itu membuka jaringan menerusi penyudah cantik, kemudian melepasi benteng pertahanan lawan untuk membantu Haaland mencetak gol, jaringan ke-21 penyerang tersebut di Liga Juara-Juara daripada 17 perlawanan.

Kontrak Haaland bakal mansuh pada 2024, setahun sebelum Bellingham, dan minat daripada kelab-kelab ternama Eropah menyebabkan Rose terpaksa berdepan persoalan sekali lagi mengenai spekulasi perpindahan pemain.

“Mereka (Haaland dan Bellingham) adalah pemain kami ketika ini, selebihnya hanyalah khabar angin,” kata Rose.

“Saya akan lakukan segalanya bagi memastikan mereka kekal,” tambah Rose, yang mempertimbangkan sama ada ‘mengikat mereka’ dengan perjanjian baharu.– AFP

Reaksi Bellingham meraikan gol bersama Haaland dalam pertemuan menentang Besiktas di Liga Juara-Juara, baru-baru ini. – AP