Rose: Saya diejek sejak berusia 18 tahun

LONDON, 4 OGOS – Pemain kebangsaan England, Danny Rose berkata ia adalah ‘sangat memalukan’ atas kematian George Floyd yang telah mencetuskan gerakan ‘Black Lives Matter’ ketika isu perkauman telah menjadi isu sejak sekian lama.

Pemain pertahanan berusia 30 tahun itu berkata dia turut menjadi mangsa perkauman sepanjang kariernya, yang terbaharu ketika bermain untuk England di perlawanan kelayakan EURO 2020 di Montenegro.

Protes anti perkauman telah diadakan di kebanyakan negara dan pemain-pemain bola sepak di England akan berlutut dan pakaian mereka terpapar logo ‘Black Lives Matter’ sejak kematian Floyd pada Mei lalu.

“Sebelum insiden George Floyd di Amerika Syarikat, sehari dalam masa setahun kami akan memakai baju-T ‘Kick It Out’ racism,” Rose memberitahu podcast The Second Captain’s.

“Memakainya hanya sehari dalam setahun tidak akan menyampaikan mesej itu kepada orang ramai.

Gambar fail aksi Danny Rose semasa menentang Manchester City musim lalu. Rose mendedahkan bahawa dia sering men-jadi mangsa perkauman sepanjang kariernya. – AP

“Ia sangat memalukan bahawa seorang lelaki telah kehilangan nyawanya bagi menghidupkan gerakan ini untuk diadakan.

“Saya berharap ini akan menjadi sesuatu yang akan menarik perhatian orang ramai, membuka mata, telinga dan minda mereka.”

Rose – yang menghabiskan separuh musim kedua Liga Perdana Inggeris dipinjamkan ke Newcastle dari Tottenham – berkata dia sering ditahan oleh polis semasa memandu.

“Setiap kali selalu ditanya, ‘Adakah ini kereta curi? Dari mana kamu dapat kereta ini? Apa yang awak lakukan di sini? Bolehkah awak buktikan bahawa awak beli kereta ini?’” katanya.

“Ini sudah terjadi semasa saya berusia 18 tahun.”

Rose turut memberitahu bahawa walaupun dia membuat perjalanan menggunakan kereta api kelas pertama, dia akan ditanya sama ada dia adalah orang yang betul sementara penumpang berkulit putih lain tidak diganggu.

“Semua perkara ini sering berlaku, selalu disuruh berhenti dan ditanyakan sama ada saya tahu atau tidak bahawa di sini adalah kelas pertama dan diminta untuk menunjukkan tiket saya,” tambahnya. – AFP