Rosma pernah jadi mangsa body shaming

Mengimbau kembali sepanjang 17 tahun bergelar anak seni, penyanyi Rosma berkata dia sering menjadi mangsa body shaming berikutan saiz badan yang agak berisi.

Lebih dahsyat apabila bekas peserta program realiti Akademi Fantasia musim pertama (AF1) ini mengakui ada pihak berpendapat dia tidak sesuai bercinta dengan Khai yang kini merupakan suaminya.

“Saya pernah dikecam teruk kerana memiliki badan sedikit berisi. Ada satu kejadian semasa sesi promo di ruang sembang maya, saya terima komen pedas membabitkan fizikal diri… individu itu kata sudahlah gemuk, ada hati nak bercinta dengan Khai.

“Ada juga yang cakap usia muda tapi saiz berbadan tembam seperti makcik-makcik yang ada anak ramai. Begitu juga yang terang-terangan cakap saya tak cantik, debab dan bulat.

“Namun kalau nak ikutkan sejak zaman remaja saya memang jenis yang comot dan tak fikir pun soal nak cantik… orang nak cakap apa itu, lantaklah! Cuma saya mula terfikir nak jaga penampilan diri selepas keluar AF1, ” katanya.

Gara-gara terkesan dengan hinaan tersebut, Rosma atau nama sebenar Rosmayati Sidik berkata dia nekad memulakan diet secara ekstrem sehingga membahayakan kesihatannya.

“Selepas menyertai AF1, berat badan saya naik mendadak dan pernah mencecah 70 kilogram… sampai hati saya terdetik besar sangat ke badan aku ini? Disebabkan nak kurus sangat, saya mulakan diet dengan cara salah sampai pernah jatuh pengsan dan dimasukkan ke sebuah hospital.

“Biasalah tak ada ilmu, tapi berlagak pandai cuba segala diet. Tapi saya tak putus asa sehinggalah menemui cara diet yang betul dan hasilkan formula produk sendiri. Alhamdulillah sekarang selepas berkahwin dan ada anak, berat saya sekitar 47 kilogram,” katanya yang mengeluarkan produk sendiri selepas melahirkan anak kedua.

Rosma, 35, dan Khai berkahwin sejak 26 April 2008. Pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata, Muhammad Amzar Danish, 11, Nur Amani Damia, 6, dan Nur Alya Dhania, setahun 3 bulan. – Agensi

Rosma mendedahkan bahawa dia pernah dikecam teruk kerana memiliki badan yang sedikit berisi. – Agensi