Rossi bangga dicalonkan juarai podium MotoGP ke-200

BRNO, 7 OGOS – Valentino Rossi berkata kelmarin bahawa dia merasa bangga kerana dilihat sebagai prospek untuk mencapai podium MotoGP ke-200 di Brno pada hujung minggu – tetapi menolak kemungkinan merasa tertekan mengenainya.

“Apabila kita semakin matang, anda akan mula melihat angka dan merasa hebat, saya bangga,” kata pemandu Yamaha menjelang Czech GP di mana dia memenangi kejuaraan pertama pada 1996.

“Tetapi sudah pasti ia bukan motivasi terbesar buat saya. Ia hanya angka,” katanya menerusi konferensi video.

“Saya di sini bukan hanya untuk podium ke-200, saya di sini kerana saya meminati perlumbaan motor dan saya menyukai cabaran, cuba untuk kekal berada di atas,” tambah pemandu veteran berusia 41 tahun.

Juara dunia MotoGP tujuh kali memenangi podiumnya yang ke-199 selepas menamatkan perlumbaan di Jerez di tempat ke-3 dua minggu lalu, podium pertama Rossi sejak di Amerika Syarikat tahun lalu.

“Saya menikmati hujung minggu ini, kembali berada di podium setelah sekian lama dan masa yang sukar adalah perasaan yang hebat,” kata Rossi.

“Jadi ini sangat penting jika saya boleh berlumba di sini (Brno).

“Litar yang hebat, saya sentiasa menyukai di sini tetapi tahun lalu bersama Yamaha kami sedikit gangguan,” tambahnya.

Perlumbaan Brno akan diadakan tanpa kehadiran peminat mengikut garis panduan yang telah ditetapkan untuk mencegah penularan koronavirus, yang telah menjejaskan jadual perlumbaan MotoGP, dengan hanya 13 perlumbaan yang disahkan dan kesemua perlumbaan di luar Eropah telah dibatalkan. – AFP