Rosyam Nor bersyukur masih bertahan

Meskipun usianya sudah menginjak 54 tahun, pelakon Datuk Rosyam Nor bersyukur masih lagi mampu bertahan dalam industri, sekali gus menyumbang sesuatu buat peminat yang banyak menyokong kerjaya seninya sebelum ini.

Malah pada usia itu juga, Rosyam turut bergelar salah seorang Rakan TV9, selain Alif Satar, Naim Daniel, Amyra Rosli dan Zharif Zhafri bersempena pelancaran konsep baharu saluran tersebut.

“Saya teruja pada usia 54 tahun ini masih mendapat tawaran untuk menjadi salah seorang Rakan TV9 bersama rakan-rakan artis muda sempena wajah baharu TV9.

“Saya menerima pelawaan ini kerana percaya dalam kehidupan itu, ada permulaannya iaitu ada golongan berumur, veteran atau senior sebelum golongan muda.

“Jadi saya harapkan penampilan bersama rakan artis muda ini dapat menggamit penonton-penonton di luar sana untuk melihat pelbagai paparan dan kandungan menarik di TV9 yang kini berkonsepkan lebih santai,” ujarnya kepada media.

Tidak hanya itu, Rosyam bakal mengendalikan sebuah program bual bicara baharu, Sembang Viral. Kapsul berdurasi 10 minit itu dihoskan secara bergilir oleh Rosyam dan Ahmad Fedtri Yahya, pada setiap hari, jam 7:30 malam.

“Saya sebagai hos akan membincangkan pelbagai isu berkaitan kehidupan dan agama yang dikongsi warganet dalam media sosial daripada perspektif Islam secara santai bersama ahli panel jemputan.

“Program ini sangat menarik kerana selama ini banyak perkara viral atau tular tidak mendapat jawapan atau penjelasan sewajarnya daripada mereka yang lebih arif. Jadi kita cuba menjawab permasalahan itu dan melihat dari segi hukum hakam dan kehidupan.

“Biarpun durasinya hanya selama 10 minit, namun isinya padu dan padat dengan info serta manfaat,” jelasnya yang sebelum ni pernah mengacarakan program keagamaan, Da’i. – Agensi

Rosyam Nor bersyukur masih lagi mampu bertahan dalam industri, sekali gus menyumbang sesuatu buat peminat yang banyak menyokong kerjaya seninya sebelum ini. – Agensi