Pelakon terkenal Datuk Rosyam Nor menawarkan ganjaran sebanyak RM1,000 kepada sesiapa yang menjumpai kucing kesayangannya yang hilang sejak 2 Mac lalu.
Rosyam Nor atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin, 55, menerusi Instastory turut memuat naik foto kucingnya yang diberi nama Midnight.
Menerusi perkongsian itu, Rosyam juga menyenaraikan ciri-ciri kucing peliharaannya yang dilihat kali terakhir di Seksyen 11, Kota Damansara.
“Kucing hilang. Ganjaran: RM1,000. ‘Midnight’. Kali terakhir dilihat pada 2 Mac 2022 di Seksyen 11, Kota Damansara.
“Jantan, kacukan breed, hitam keperangan, mata hijau, ekor panjang, berisi, tiada kolar, tiada jalur, sangat manja dengan orang,” tulisnya.
Menurut pelakon filem KL Gangster ini, seluruh keluarga berasa kehilangan dan berharap sesiapa yang menjumpai kucing itu akan memulangkannya.
Rosyam mengakui dia berasa bimbang sekiranya ada individu yang mengambil kucingnya secara tidak sengaja memandangkan ia mudah mesra dengan orang lain.
“Dah beberapa hari kucing saya namanya Midnight, tak balik-balik. Saya bela kucing ini daripada ibunya dan usianya dah lebih lima tahun.
“Jadi, saya harap sesiapa yang jumpa kucing saya, boleh DM saya. Sebab saya dah rindu padanya. Saya cari ‘dia’… seluruh keluarga rasa kehilangannya.
“Adiknya ada, tapi ia tak ada. Badannya besar, manja dengan semua orang. Sesiapa terjumpa, minta tolong beritahu.
“Sesiapa terambil, sebab ia cantik dan besar, minta dipulangkan semula… tolong,” kata Rosyam Nor. – Agensi