Rosyam Nor tangguh projek penggambaran

Datuk Rosyam Nor percaya sekarang bukan masa sesuai untuk penerbit memohon kelonggaran menyambung penggambaran ketika kerajaan mengawal penularan COVID-19.

Penerbit Suhan Movies & Trading Sdn Bhd itu mengaku produksinya sendiri terpaksa menangguhkan beberapa projek penggambaran berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya ada tiga projek drama tertangguh, tetapi akur perintah kerajaan.

“Saya yakin Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) lebih tahu dan memantau keadaan ini. Mereka tahu selamat atau tidak untuk kita berada di luar, disebabkan itulah PKP dilaksanakan.

“Sekiranya penerbit ingin meneruskan penggambaran, adakah pelakon atau kru sedia untuk bekerja? Mereka sendiri belum tentu mahu memperjudikan nasib,” katanya kepada media.

Rosyam Nor menyatakan pada ketika ini bukanlah masa yang sesuai untuk menyambung penggambaran berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – Agensi

Sabtu lalu, pihak media melaporkan, Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) akan memboikot penerbit yang meneruskan penggambaran tanpa kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM.

Jika ingkar, nama pengarah yang juga ahli FDAM disenarai hitam. Selain itu, FDAM akan menggesa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menarik balik lesen penerbitan dan tidak akan meluluskan sokongan ke atas Sijil Perakuan Penggambaran FINAS.

Presidennya, Ahmad Ibrahim dilaporkan kesal dengan kenyataan beberapa penerbit meminta kerajaan memberikan kelonggaran dengan membenarkan syarikat produksi meneruskan penggambaran dengan bersyarat, dalam tempoh PKP yang dilanjutkan hingga 28 April ini.

Rosyam berkata, industri Malaysia bukannya Hollywood memiliki studio sendiri, sebaliknya perlu menyewa rumah dan premis milik orang lain untuk menjalankan penggambaran.

“Soalnya, adakah ada orang sanggup membenarkan rumah atau premis digunakan dalam keadaan sekarang?

“Kita baru sebulan menjalani PKP. Cuba kita lihat apa yang terjadi kepada penduduk luar negara? Mereka tidak ambil endah kerana menganggap virus COVID-19 tidak berbahaya, tetapi lihatlah apa yang berlaku.

“Lagipun, semua stesen televisyen (TV) faham situasi yang berlaku, jadi tidak perlu tergesa-gesa untuk menyi-apkan drama. Kena patuh arahan KKM dan kerajaan.

“Kita juga harus berterima kasih atas tindakan pantas yang diambil kerajaan dan penyebaran COVID-19 lebih terkawal,” katanya. – Agensi