Wednesday, April 24, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Roti berbentuk berlian hidangan asasi di Iraq

    BAGHDAD – Ia ada di mana-mana di Iraq. Roti berbentuk berlian yang dikenali sebagai ‘samoon’ sesuai dijadikan makanan sampingan yang murah untuk hampir semua hidangan yang disajikan di atas meja di seluruh negara itu.

    Abu Sajjad, pemilik kedai roti di tengah Baghdad, berkata dia mengeluarkan satu set roti segar dari ketuhar setiap 45 saat.

    Roti yang kecil dan rangup itu sesuai dipadankan dengan apa saja hidangan dari daging hingga nasi, dan mudah didapati di mana-mana walaupun di kampung yang paling jauh.
    Segelintir rakyat Iraq suka memakannya semasa dalam perjalanan selepas mengoyakkannya dan menambah inti seperti falafel dan sayur-sayuran.

    Proses yang mudah dan murah

    Ia menjadi popular disebabkan oleh cara pembuatannya yang ringkas dan harganya yang mampu milik.

    “Saya menjual lapan keping samoon dengan harga 1,000 dinar (AS$0.70),” kata Abu Sajjad, 43, yang memiliki kedai roti itu sejak 2005.

    Abu Sajjad (kanan), memeriksa roti yang baru siap dibakar di kedai rotii miliknya di jalan Al-Rashid, Baghdad. – AFP
    Seorang belia Iraq (kanan), membeli roti yang baru siap dibakar di kedai roti di jalan Al-Rashid, Baghdad. – AFP
    Orang ramai membeli roti ‘samoon’ di kedai roti di jalan Al-Rashid, Baghdad. – AFP
    Seorang pekerja sedang membakar roti ‘samoon’ di jalan Al-Rashid, Baghdad. – AFP
    Para pekerja sedang membentuk doh kepada bentuk berlian di kedai roti di jalan Al-Rashid, Baghdad. – AFP
    Sajjad menguli doh di kedai roti milik keluarganya di jalan Al-Rashid, Baghdad. – AFP
    Seorang pekerja sedang mencampurkan doh di kedai roti di jalan Al-Rashid, Baghdad. – AFP
    Seorang pekerja sedang menimbang doh di kedai roti di jalan Al-Rashid, Baghdad. – AFP

    Anak lelakinya, Sajjad, yang berumur 20an, mencampurkan tepung, ragi dan air, dan kadangkala secubit garam, kemudian membiarkan mesin menguli doh selama 10 minit.

    Selepas membiarkannya mengembung seketika, dia membentuk ketulan doh menjadi roti berbentuk berlian dan meninggalkannya di dalam ketuhar batanya sehingga menjadi kerak yang rangup di luar dan lembut di bahagian dalam.

    Kedai roti itu menjual 10,000 keping samoon pada hari biasa. Manakala, pada hari Jumaat, hari cuti Islam, “kita boleh menjual sehingga 12,000 keping,” kata Sajjad.

    Kedai mereka yang sibuk terletak di Jalan Al-Rashid di Baghdad di antara rumah-rumah usang abad ke-19, manakala sejumlah restoran berdekatan menjadi pelanggan utama mereka.

    Kekalkan harga

    Kenaikan harga komoditi baru-baru ini menyaksikan kos tepung yang diimport dari Turkiye meningkat.

    Tetapi Abu Sajjad berkata dia telah menurunkan berat setiap samoon daripada 120 kepada 100 gram dan bukannya menaikkan harga.

    Menurut penulis, Nawal Nasrallah, nama samoon berasal dari istilah Turkiye yang kata akarnya berasal dari perkataan Yunani untuk roti.

    Sambil menyatakan kemungkinan terdapat versi awal berkenaan roti itu, dia berkata “Nampaknya bentuk berlian roti itu dicipta oleh pembuat roti Iraq pada awal abad ke-20”, menulis dalam buku masakannya dan sejarah masakan Iraq, ‘Delights from the Garden of Eden’.

    Memandangkan waktu makan tengah hari semakin hampir, Karim, pelanggan tetap di kedai roti itu, adalah antara yang menyimpan stok.

    “Kami rakyat Iraq suka samoon. Kami dilahirkan dengannya, kami sudah terbiasa dengannya dan kami suka ia panas,” kata lelaki berusia 41 tahun itu sambil menggigit roti yang baru dibakar. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...