Roti Gebhoo buatan sendiri dijual ‘panas-panas’

KUANTAN – Gemar menikmati pelbagai aneka roti mendorong seorang wanita mengusahakan perniagaan makanan itu bermula di rumah sehingga mampu membuka sebuah kedai kecil yang beroperasi di bangunan pasar raya Bintang Lama, di Jalan Bukit Ubi, Kuantan, Pahang, Malaysia.

Pemilik perniagaan Roti Gebhoo, Nazidah Ali, 38, atau mesra disapa kak Gee berkata menerusi jenama itu, dia mengetengahkan roti yang seakan-akan roti paung dengan perisa asli, gula, keju dan coklat yang dijual pada harga antara RM6 dan RM9 sebungkus.

Lebih menarik, menurutnya, roti buatan sendiri itu boleh dibeli ketika masih ‘panas’ secara pandu lalu, kerana selepas siap dibakar dan dikeluarkan daripada ketuhar ia terus dijual kepada pelanggan bermula antara 11 pagi sehingga 3 petang.  

“Sejurus siap dibakar permukaan roti yang masih panas akan disapu mentega sebelum ditabur gula dan parutan keju atau coklat bagi membolehkan ia mencair.

“Selain pandu lalu, kami juga menyediakan khidmat penghantar kepada pelanggan di sekitar Kuantan dengan bayaran ditetapkan mengikut lokasi mereka dan ada hari kami buat promosi penghantaran secara percuma.

Pemilik perniagaan Roti Gebhoo Nazidah Ali menunjukkan roti perisa coklat dan keju yang siap untuk dijual semasa ditemui di kedainya. – Bernama
Kelihatan Nazidah Ali (dua, kanan) melayani pelanggannya secara pandu lalu di kedainya. – Bernama
Nazidah Ali menyapu marjerin pada roti yang siap dibakar. – Bernama

“Kebiasaannya sekitar pukul 3 petang roti habis dijual dan kami tak simpan roti untuk esok, setiap hari adalah roti baharu. Rata-rata pelanggan memaklumkan roti ini masih kekal lembut dan gebu walau sudah tiga hari,” katanya kepada Bernama di sini hari ini. Nazidah berkata dia menghasilkan 150 bungkus roti dengan nilai jualan lebih RM800 sehari dan kedai dibuka setiap hari kecuali Ahad.

Bagi proses penyediaan roti pula menurutnya, setiap hari dia bermula sekitar pukul 8 pagi dengan mengadun bahan-bahan antaranya tepung, yis, telur dan marjerin. “Saya akan mengadun menggunakan mesin untuk menghasilkan doh roti yang kemudian dibulatkan pada saiz lebih kecil secara manual bagi memastikan bentuknya  elok dan cantik, dengan dibantu dua pekerja,” katanya yang menetap di Cenderawasih, Kuantan.

Menyingkap penglibatannya dalam dunia perniagaan, dia yang sebelum itu merupakan ejen insurans berkata segalanya bermula apabila percubaan menghasilkan roti untuk makan sendiri mula mendapat permintaan daripada keluarga dan rakan-rakan selepas dimuat naik di laman Facebook.

Selepas perniagaannya semakin dikenali, Nazidah memutuskan untuk berhenti menjadi ejen insurans bagi menghasilkan roti secara serius sehingga berjaya membuka kedai pada penghujung 2018 dengan modal diperoleh daripada menggadaikan gelang tangannya bagi membeli peralatan membuat roti. Katanya resipi menghasilkan roti yang gebu, lembut, lemak dan enak awalnya dipelajari menerusi carian di Internet yang kemudian ditambah baik.

“Dahulu saya ambil tempahan secara mingguan iaitu sebanyak 200 biji, sekarang syukur sehari boleh buat 150 biji, daripada guna ketuhar biasa kini dah pakai ketuhar industri.

“Masa nak dapatkan resipi roti yang betul-betul sedap, saya pernah buang lebih 20 kilogram tepung apabila roti yang yang dibuat tidak menjadi. Namun, saya tidak putus asa dan terus mencuba kerana niat saya mahu menyediakan makanan yang berkualiti kepada pelanggan,” katanya.

Dalam pada itu dia mengharapkan roti keluarannya itu terus mendapat permintaan dan pilihan pelanggan seiring dengan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). – Bernama