Saturday, April 20, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Roti john variasi enam inti beri pulangan lumayan

    KOTA BHARU – Tampil unik dan kreatif dengan mencipta enam variasi inti roti john sebagai ‘pelaris’ menjadi rezeki kepada seorang peniaga yang kini mampu meraih pulangan lumayan. 

    Peniaga Roti John Ketagih cawangan Kubang Kerian Muhamad Azhar Zainudin, 36, berkata beliau mula mengusahakan perniagaan itu bersama dua rakan sebayanya Mohd Hafiz Hamid dan Mohd Shahrieman Abdul Hamid pada Mac 2020.

    Beliau berkata idea untuk mengusahakan menu bermusim itu timbul apabila kedua-dua rakannya itu yang bekerja sebagai peniaga pasar malam sebelum ini hilang punca pendapatan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    “Dari situ kami bertiga mula mendapat idea untuk berniaga roti john memandangkan masih tidak ramai yang mengusahakan menu bermusim itu terutamanya pada bulan biasa melainkan ia hanya mudah diperoleh pada bulan Ramadan.

    “Sebagai permulaan kami mencuba nasib membuka kedai di Pintu Geng, Kota Bharu dengan menawarkan roti john berserta tiga pilihan inti iaitu ayam, daging lembu dan kambing menggunakan resipi tersendiri sehingga mampu terjual sekitar 200 biji sehari,” katanya ketika ditemui Bernama di kedai miliknya di Kubang Kerian.

    Muhamad Azhar Zainudin menyiapkan roti john yang ditempah oleh pelanggannya. – Bernama
    Antara variasi inti roti john yang dihasilkan peniaga Roti John Ketagih cawangan Kubang Kerian Muhamad Azhar Zainudin. – Bernama

    Bercerita lanjut, bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata selepas melihat roti john yang diusahakan beliau serta dua rakannya itu mendapat permintaan tinggi membuatkan beliau mengambil keputusan untuk membuka cawangan di Kubang Kerian sejak Januari tahun lepas.

    Katanya, walaupun telah membuka cawangan lain beliau masih mengekalkan resipi yang diolah mereka bertiga bagi menghasilkan roti john selain mendapatkan bekalan inti daripada Mohd Hafiz secara berkala.

    Menurutnya, antara kelainan yang diketengahkan adalah inti roti john berkenaan tidak dikisar halus tetapi dicincang kasar untuk memastikan pelanggan masih dapat merasa tekstur inti yang dihasilkan.

    Untuk mempelbagaikan lagi perisa, beliau mula menawarkan tiga inti baharu pada pertengahan tahun lepas iaitu makanan laut, sardin dan juga peperoni selain pelanggan mempunyai pilihan untuk menambah keju yang dijual pada harga RM7 dan mencecah RM15 sebiji bergantung kepada jenis inti.

    “Hampir setiap hari saya memerlukan sekitar 300 biji telur untuk memenuhi permin-taan pelanggan dan mampu menjual sehingga mencecah sekitar 200 hingga 350 biji roti john sehari,” katanya yang mampu meraih hasil jualan sehingga mencecah puluhan ribu ringgit.

    Muhamad Azhar yang juga lepasan Diploma Kejuruteraan Awam dari Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang berkata memandangkan harga telur mentah kini semakin mahal, beliau terpaksa menaikkan harga sebanyak 50 sen untuk setiap biji roti john tahun ini.

    Sementara itu, seorang pelanggan, Muhammad Amir Arifin, 21, berkata roti john yang diusahakan oleh Muhamad Azhar telah menjadi menu pilihannya hampir setiap minggu. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...