Rouhani ancam sekat jualan minyak Teluk

TEHRAN, 4 Dis – Presiden Iran, Hassan Rouhani menunjukkan pendirian tegas terhadap sekatan Amerika Syarikat (AS) hari ini dengan mengumumkan ancamannya untuk memotong penjualan minyak antarabangsa dari Teluk.

“Amerika sepatutnya tahu, ia tidak mampu mencegah eksport minyak Iran,” kata Rouhani pada perhimpunan yang disiarkan di televisyen di wilayah Semnan.

“Sekiranya ia cuba melakukannya, minyak tidak akan dieksport dari Teluk Parsi,” katanya.

Sejak tahun 1980an, Iran telah berulang kali berkata ia akan menyekat eksport minyak Teluk sebagai tindak balas terhadap tekanan antarabangsa tetapi tidak pernah melakukan ancaman tersebut.

Washington telah mengembalikan sekatan ke atas Iran, termasuk sekatan minyak, sejak menarik diri daripada perjanjian nuklear 2015 antara Tehran dan kuasa-kuasa utama pada bulan Mei lalu.

Gambar yang dikeluarkan oleh Jabatan Presiden Iran menunjukkan Hassan Rouhani memeriksa barisan kehormatan semasa tiba di bandar utara Shahroud, Iran, kelmarin. – AP

Ia telah bersumpah untuk mengurangkan jualan minyak Iran kepada sifar, tetapi telah memberikan pengecualian sementara kepada lapan buah negara.

Rouhani kali terakhir telah mengancam untuk menutup pengeksportan minyak Teluk pada Julai lalu apabila dia memberi amaran kepada AS supaya ‘tidak bermain dengan ekor singa’.

Presiden Iran itu tidak mengheboh-hebohkan kesan ekonomi susulan sekatan AS, menuduh media memperbesar-besarkan masalah negara itu.

“Tidak ada inflasi melampau, tidak ada pengangguran secara besar-besaran yang akan mengancam kita.

“Orang ramai harus berhenti mengatakan khabar-khabar angin yang dilaporkan di atas kertas,” katanya kepada orang ramai.

Laporan inflasi terbaharu dari bank pusat Iran mengatakan harga makanan naik 56 peratus tahun ke tahun pada bulan Oktober.

Rouhani mengakui terdapat ‘beberapa masalah’ sedang dihadapi, tetapi berkata ini akan ditangani dalam rancangan bajet baharu yang akan dibentangkan pada 16 Disember ini. – AFP