Rozita Che Wan menolak tawaran sebuah syarikat produksi yang mahu menerbitkan drama mega 40 episod yang menawarkan dirinya watak ibu kepada aktor, Remy Ishak.
Rozita atau mesra disapa Che Ta, 48, berkata, tawaran itu terpaksa ditolak kerana menganggap tidak realistik dia menghidupkan watak kepada Remy yang berusia 39 tahun.
“Selama ini, saya okey sahaja melakonkan watak ibu. Tetapi, tidaklah sampai ke tahap pelakon yang menjadi anak terlalu dewasa.
“Tawaran berlakon watak ibu bukanlah isu besar. Tetapi agak-agaklah hendak menggandingkan saya dengan pelakon yang jadi anak itu.
“Saya fikir Remy terlalu matang untuk menjadi anak saya dalam drama berkenaan. Kalau hendak digandingkan pelakon watak ibu dan anak, biarlah ikut logik akal,” katanya.
Sebelum ini, pelakon drama Kiah Pekasam ini sudah beberapa kali digandingkan dengan Remy. Namun, kebanyakan watak dibawa menggandingkan mereka sebagai pasangan kekasih.
Antaranya telefilem berjudul Masihkah Ada Sinar yang pernah bersaing pada Anugerah Skrin (ASK) 2011.
Dalam perkembangan lain, Rozita yang bakal meraikan ulang tahun perkahwinan kelapan dengan Zain Saidin pada 11 Disember ini, tidak sabar berpindah ke kediaman baharu di Petaling Jaya.
“Kami terpaksa tunda berpindah ke rumah baharu kerana pandemik COVID-19. Sebelum ini, saya pernah kerugian jutaan ringgit kerana projek pengubahsuaian rumah gagal disiapkan kontraktor dilantik.
“Sekarang, perlahan-lahan saya cuba curi masa mengawasi perkembangan proses ubah suai dan siapkan rumah dengan kontraktor lain,” katanya yang baru-baru ini membawa watak Detektif Masni dalam drama Tahyul terbitan Zeel Production. – Agensi