Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Feb – Penantian penduduk Rancangan Perumahan Negara (RPN) Meragang dan Perumahan Tanah Jambu untuk dihubungkan dengan pengangkutan awam berakhir selepas empat tahun apabila perkhidmatan bas awam mula beroperasi di kawasan itu Jumaat lalu.
Ketua Biro Perhubungan Majlis Perundingan Kampung (MPK) RPN Meragang, Pengiran Kahar bin Pengiran Haji Serudin ketika ditemui hari ini melahirkan rasa syukur selepas apa yang diusahakannya sejak April 2016 telah menggembirakan sebilangan warga RPN Meragang dan Perumahan Tanah Jambu.
Menurut beliau, sepertimana yang diketahui bahawa penerima rumah di sini adalah dari segenap pelosok negara dengan pelbagai peringkat pendapatan. “Masalah pengangkutan awam merupakan salah satu sebab mengapa rumah-rumah di sini banyak kosong dan kita akan dapat melihat perkembangannya apabila bas awam telah beroperasi,” tambahnya.
Salah seorang penduduk kampung, Haji Ahmad bin Haji Damit pula merakamkan rasa terima kasih beliau kepada pihak yang mengusahakan perkhidmatan ini dan menyambut baik usaha berterusan MPK RPN Meragang memelihara kebajikan warga setempat dengan kemudahan selesa kepada mereka yang tidak mempunyai kenderaan.
“Dengan adanya perkhidmatan bas awam ini, penduduk yang ada pertalian keluarga dan sahabat handai serta menetap di antara dua buah kampung akan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim mereka,” kata Haji Ahmad.
Manakala Dayang Hani binti Hashim dari Perumahan Tanah Jambu pula berkata, “Untuk teman-teman, jiran dan orang ramai yang tinggal di sini, Alhamdulillah kita semua dan mereka yang tidak mempunyai kenderaan seperti saya dapat menggunakan perkhidmatan bas ini.”
Dayang Hani juga berharap agar pihak yang berkenaan dapat menyelaraskan perkhidmatan bas awam ini dengan lebih baik lagi supaya penduduk kawasan ini senang berulang-alik ke Bandar Seri Begawan dan Pekan Muara.
“Saya juga bersyukur kerana sebelum ini saya sering berjalan kaki lebih kurang sejam dari rumah untuk sampai ke perhentian bas dekat kawasan perindustrian. Dengan adanya perkhidmatan bas ini, saya dapat menjimatkan masa dan tenaga. Alhamdulillah dan terima kasih kepada pihak yang menguruskan perkara ini,” kata Dayang Hani lagi.