Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 SEPT – Indeks Harga Hartanah Kediaman (RPPI) pada suku kedua (Q2) 2023 menunjukkan penurunan sebanyak 0.54 peratus tahun-ke-tahun kepada 92.6 berbanding Q2 2022 dan penurunan sebanyak 4.08 peratus berbanding suku pertama (Q1) 2023.
RPPI Negara Brunei Darussalam bagi Q2 2023 yang diterbitkan oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) itu dihasilkan dengan data yang diperoleh dari bank-bank di Negara Brunei Darussalam dan diterbitkan dengan kerjasama pihak Kementerian Pembangunan khususnya Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi).
Ia mengukur kadar perubahan harga hartanah kediaman persendirian yang dibeli oleh isi rumah dari semasa ke semasa, menurut kenyataan yang dikeluarkan BDCB, hari ini.
Berdasarkan data pinjaman bagi pembelian hartanah kediaman persendirian yang diperoleh dari bank-bank, sebanyak 129 transaksi pembelian hartanah kediaman persendirian telah dicatatkan pada Q2 2023.
Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 5.74 peratus dalam bilangan transaksi berbanding Q1 2023 dan penurunan sebanyak 0.77 peratus berbanding satu tahun yang lalu.
Pada Q2 2023, sebahagian besar daripada transaksi berkenaan adalah bagi pembelian rumah berasingan atau detached iaitu 50.4 peratus, diikuti oleh rumah teres iaitu 25.6 peratus, rumah berkembar atau semi-detached iaitu 20.9 peratus, pangsapuri iaitu 2.3 peratus serta tanah iaitu 0.8 peratus.
Harga penengah atau median bagi pembelian kesemua jenis hartanah kediaman persendirian pada Q2 2023 adalah $252,000 di mana ia menunjukkan peningkatan sebanyak 1 peratus berbanding Q2 2022 dan peningkatan sebanyak 0.4 peratus berbanding Q1 2023.
Harga penengah atau median bagi pembelian rumah berasingan adalah $300,000, bagi rumah teres $200,000, bagi rumah berkembar $258,000, bagi pangsapuri $260,000.00 serta pembelian tanah $165,000.
Pengiraan RPPI menggunakan harga penengah atau median dan bukan harga purata kerana harga penengah tidak mudah terjejas oleh harga hartanah yang luar biasa dalam satu tempoh masa.
Dari segi lokasi pula, kebanyakan pembelian hartanah persendirian pada Q2 2023 adalah yang terletak di Daerah Brunei dan Muara iaitu 108 hartanah, diikuti oleh Daerah Belait iaitu 12 hartanah, Daerah Tutong lapan hartanah serta Daerah Temburong satu hartanah.
Lima buah mukim yang merekodkan jumlah transaksi tertinggi bagi Q2 2023 adalah Mukim Sengkurong, Mukim Kilanas, Mukim Gadong, Mukim Mentiri serta Mukim Berakas ‘B’.
Indeks dan statistik yang diterbitkan adalah untuk maklumat umum sahaja. Orang ramai dinasihatkan untuk tidak hanya bergantung pada indeks dan statistik berkenaan untuk menilai mana-mana hartanah kerana harga hartanah kediaman persendirian adalah berbeza tertakluk antara lainnya kepada lokasi, saiz tanah dan keluasan lantai.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut, nota teknikal dan data terkini, boleh melayari laman sesawang BDCB, www.bdcb.gov.bn. Maklumat terkini mengenai RPPI juga akan dikeluarkan dari semasa ke semasa melalui akaun Instagram BDCB, @centralbank.brunei.