Wednesday, April 24, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    RPPI Q4 meningkat 7.6 peratus

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 APRIL – Indeks Harga Hartanah Kediaman (RPPI) pada suku keempat (Q4) 2021 menunjukkan peningkatan sebanyak 7.6 peratus tahun-ke-tahun kepada 97.4 berbanding Q4 2020 dan peningkatan sebanyak 4.3 peratus berbanding suku ketiga (Q3) 2021 di mana ia menunjukkan trend peningkatan yang berterusan dari suku sebelumnya.

    RPPI Negara Brunei Darussalam bagi Q4 2021 telah diterbitkan oleh Bank Pusat Brunei Darussalam (BDCB), menurut siaran akhbar yang dikeluarkan oleh BDCB, di sini, hari ini.

    Indeks itu dihasilkan dengan data yang diperoleh dari bank-bank di Negara Brunei Darussalam dan diterbitkan dengan kerjasama pihak Kementerian Pembangunan khususnya Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi).

    Kenyataan menyatakan bahawa sebanyak 128 transaksi pembelian hartanah kediaman persendirian yang dibiayai melalui bank-bank telah direkodkan pada Q4 2021, berbanding dengan 130 transaksi pada suku sebelumnya.

    Kebanyakan daripada transaksi itu adalah bagi pembelian rumah berasingan atau detached iaitu sebanyak 62.5 peratus, diikuti dengan rumah berkembar atau semi-detached sebanyak 11.7 peratus, rumah teres sebanyak 18.7 peratus, pangsapuri sebanyak 5.5 peratus dan tanah sebanyak 1.6 peratus.

    Harga median bagi pembelian kesemua jenis hartanah kediaman persendirian pada Q4 2021 adalah $264,000 di mana ia menunjukkan peningkatan sebanyak 7.8 peratus berbanding Q4 2020 dan peningkatan sebanyak 5.6 peratus berbanding dengan suku sebelumnya.

    Harga median bagi pembelian rumah berasingan adalah $295,400, bagi rumah berkembar ialah $255,000, bagi rumah teres $219,400, bagi pangsapuri $240,000 dan bagi tanah ialah $187,500.

    Pengiraan RPPI menggunakan harga median dan bukan harga purata kerana ia merupakan ukuran yang lebih tepat bagi hartanah kediaman. Ini disebabkan harga median yang tidak terjejas oleh harga hartanah yang luar biasa bagi jenis hartanah yang sama dalam suatu tempoh masa.

    Kenyataan menyatakan lanjut bahawa indeks dan statistik yang diterbitkan adalah untuk maklumat umum sahaja. Orang ramai dinasihatkan untuk tidak hanya bergantung pada indeks dan statistik berkenaan untuk menilai mana-mana hartanah kerana harga hartanah kediaman persendirian adalah berbeza tertakluk antara lainnya kepada lokasi, saiz tanah dan keluasan lantai.

    Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut, nota teknikal dan data terkini, ia boleh didapatkan di laman sesawang BDCB, www.bdcb.gov.bn. Maklumat terkini mengenai RPPI juga akan dikeluarkan dari semasa ke semasa melalui akaun Instagram BDCB @centralbank.brunei.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...