RPPI suku ketiga 2021 tunjukkan peningkatan 0.6%

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 DIS – Indeks Harga Hartanah Kediaman (RPPI) pada suku ketiga 2021 menunjukkan peningkatan sebanyak 0.6 peratus tahun-ketahun kepada 92.3 berbanding suku ketiga 2020 dan penurunan 0.9 peratus berbanding suku kedua 2021.

RPPI Negara Brunei Darussalam bagi suku ketiga (Q3) 2021 telah diterbitkan oleh Bank Pusat Brunei Darussalam (BDCB), menurut siaran akhbar yang dikeluarkan oleh BDCB, di sini, hari ini.

Indeks itu dihasilkan dengan data yang diperoleh daripada bank-bank di Negara Brunei Darussalam dan diterbitkan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan khususnya Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi).

Kenyataan menyatakan bahawa berdasarkan data pinjaman bagi pembelian hartanah kediaman persendirian yang diperoleh daripada bank-bank, sebanyak 130 transaksi pembelian hartanah kediaman persendirian telah dicatatkan pada suku ketiga 2021 berbanding 103 transaksi pada suku kedua 2021.

Kebanyakan daripada transaksi itu adalah bagi pembelian rumah berasingan atau detached iaitu sebanyak 63.1 peratus, diikuti dengan rumah berkembar atau semi-detached sebanyak 21.5 peratus, rumah teres sebanyak 11.5 peratus dan pangsapuri sebanyak 3.9 peratus.

Kenyataan turut menyatakan bahawa tiada pembelian tanah melalui pembiayaan bank telah dicatatkan pada suku ketiga 2021.

Harga median bagi pembelian kesemua jenis hartanah kediaman persendirian pada suku ketiga 2021 adalah $250,000 di mana ia menunjukkan peningkatan sebanyak 4.2 peratus tahun-ketahun berbanding dengan suku ketiga 2020 dan penurunan sebanyak 9.7 peratus berbanding suku kedua 2021.

Harga median bagi pembelian rumah berasingan atau detached adalah $258,000, bagi rumah berkembar atau semi-detached ialah $265,000, bagi rumah teres ialah $215,000 dan bagi pangsapuri ialah $250,000.

Kenyataan menyatakan lanjut bahawa indeks dan statistik yang diterbitkan adalah untuk maklumat umum sahaja. Orang ramai dinasihatkan untuk tidak hanya bergantung pada indeks dan statistik berkenaan untuk menilai mana-mana hartanah kerana harga hartanah kediaman persendirian adalah berbeza tertakluk antara lainnya kepada lokasi, saiz tanah dan keluasan lantai.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut, nota teknikal dan data terkini, ia boleh didapatkan di laman sesawang BDCB, www.bdcb.gov.bn. Maklumat terkini mengenai RPPI juga akan dikeluarkan dari semasa ke semasa melalui akaun Instagram BDCB @centralbank.brunei.