Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Ruang angkasa manggatal gamit peminat luncur udara

    Oleh Noorazlina Jindeh

    KOTA KINABALU – Diakui, aktiviti rekreasi ekstrem luncur udara bukan untuk semua, namun bagi yang ada keberanian untuk mencuba, percayalah, awda tidak akan rugi.

    Meluncur di udara pada ketinggian kira-kira 2,700 kaki dari aras laut memberikan satu kepuasan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

    Apatah lagi mata pula dihidangkan dengan pemandangan indah kehijauan belantara serta air laut yang membiru sayup di kejauhan.

    Setidak-tidaknya itulah yang penulis rasai ketika meneroka ruang angkasa Manggatal, kira-kira 15 kilometer dari bandar raya Kota Kinabalu, baru-baru ini.

    Bertolak pada 9 pagi dari pekan Manggatal, perjalanan penulis ke Bukit Kokol iaitu antara pangkalan untuk aktiviti luncur udara di Sabah, amat menenangkan sekalipun laluannya berbukit dan berliku, merentasi perkampungan dan juga kawasan tarikan pelancongan.

    Tiba di Bukit Kokol kira-kira 20 minit kemudian, penulis bersama-sama jurupandu peluncur Mejar (B) Haznain Ngamil, 51, yang juga pemilik Borneo Paragliders, menapak kira-kira lima minit melalui denai kecil sebelum tiba di kawasan lapang dikenali Bukit Kokol Mama Hill.

    Tunggu tiupan angin

    Hati teruja untuk memulakan penerbangan, namun keadaan berkabus serta arah tiupan angin yang belum sesuai untuk kegiatan luncur udara memaksa kami “berehat” seketika di atas pelantar buluh yang disediakan di situ.

    “Sekarang angin dari arah belakang, kita kena tunggu angin dari arah depan untuk terbang,” jelas Haznain.

    Berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu, arah tiupan angin dapat dilihat berdasarkan kibaran bendera Sabah dan Malaysia yang dipacak di situ serta beberapa petunjuk lain.

    Sejam menanti, kabus semakin menipis dan tiupan angin juga mula berubah arah. Demi menjamin keselamatan, Haznain menghubungi isterinya Asmah Ahmad, 42, yang menunggu di kawasan mendarat, bagi mendapatkan maklumat terkini tentang cuaca di situ.

    Beliau kemudian melakukan pemeriksaan terakhir ke atas peralatan luncur seberat kira-kira lima kilogram itu sebelum memakaikan topi keselamatan dan abah-abah pada penulis.

    Setelah memastikan semua peralatan dan tali diikat dengan selamat, Haznain mengingatkan penulis agar tidak melompat ketika memulakan luncuran, sebaliknya cukup sekadar berlari dan membiarkan tubuh ditolak oleh angin.

    Di awang-awangan sekelip mata

    “Jalan ke depan sikit… lari, lari, lari,” jeritnya sambil kami meluru ke kawasan curam kira-kira lima meter di hadapan kami. Curam itu berketinggian kira-kira 2,650 kaki dari aras laut.

    Dalam sekelip mata kami berada di udara, dan penulis memandang ke bawah namun yang kelihatan hanya kabus.

    Berbekalkan dua pengalaman meluncur udara secara tandem sebelum ini, penulis tidak gusar meskipun hanya abah-abah dan cangkuk yang “mengikat” penulis pada peluncur dan “tandem master” atau jurupandu, selain yakin dengan kepakaran Haznain yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam aktiviti tersebut.

    Seketika kemudian, peluncur kami semakin tinggi di udara dan kabus mula menipis, menyerlahkan kehijauan hutan Bukit Kokol.

    Di hadapan kami terbentang luas Laut China Selatan, sementara di sebelah kiri pula sayup kelihatan hutan konkrit bandar raya Kota Kinabalu dan di sebelah kanan Menara Kinabalu megah berdiri.

    Degupan jantung penulis bertambah kencang apabila tolakan angin yang agak kuat tiba-tiba melonjakkan peluncur kami lebih tinggi ke angkasa.Sememangnya aktiviti ini bukan untuk orang yang lemah semangat. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...