Ruang kabin penumpang SpaceShipTwo didedahkan

LOS ANGELES – Penumpang yang terbang menggunakan Virgin Galactic dalam perjalanan ke orbit angkasa akan menyaksikan diri mereka terapung dalam pesawat itu dengan berlatarbelakangkan Bumi sementara 16 kamera mendokumentasikan pengembaraan itu, menurut syarikat tersebut.

Kemudahan yang sangat terperinci untuk meningkatkan pengalaman penerbangan para penumpang dipaparkan dalam acara dalam talian yang memperlihatkan kabin pesawat roket syarikat, yang dipanggil SpaceShipTwo, yang sedang menjalani ujian sebagai persiapan untuk perkhidmatan komersial.

Terdapat banyak puluhan tingkap disediakan untuk melihat suasana di angkasa, tempat duduk yang disesuaikan untuk enam penumpang bagi setiap penerbangan dan berkemampuan diselaraskan dengan kekuatan G force dan cahaya semula jadi.

Namun pereka Jeremy Brown mengatakan penumpang yang paling beruntung menikmati suasana angkasa mungkin di tempat duduk di bahagian belakang kabin yang memiliki cermin besar.

“Kami berpendapat penumpang akan tetap mengingati memori indah ketika mereka melihat pantulan diri mereka di belakang kabin, menyaksikan diri mereka melayang di angkasa, interaksi peribadi yang akan mereka akan alaminya,” katanya.

Virgin Galactic menunjukkan bahagian dalam kabin pesawat angkasa lepas semasa penerbangan. Kemudahan yang sangat terperinci untuk meningkatkan pengalaman pelanggan dipaparkan dalam acara dalam talian pada 28 Julai, memperlihatkan kabin pesawat roket dipanggil SpaceShipTwo. – AP
Pemandangan dari bumi yang dapat disaksikan menerusi tingkap pesawat itu. – AP
Ruangan dalam kabin SpaceshipTwo semasa penerbangan. Kemudahan yang sangat terperinci, SpaceShipTwo, yang sedang menjalani ujian sebagai persiapan untuk perkhidmatan komersial. Terdapat banyak tingkap dan tempat duduk yang dapat disesuaikan untuk setiap enam penumpang dan pencahayaan suasana. – AP

Virgin Galactic dibina oleh jutawan Britain, Richard Branson selepas memenangi hadiah penerbangan eksperimental SpaceShipOne pada tahun 2004.

Branson merancang untuk menjadi penumpang pertama ketika penerbangan komersial itu bermula.

Seperti pesawat terdahulu, SpaceShipTwo adalah pesawat roket yang digantung di bawah pesawat jet khas dan dilepaskan pada ketinggian altitud yang tinggi.

Setelah dilepaskan, kedua juruterbang menghidupkan roket dan kapal itu bergerak naik dan memecut secara menegak dengan kelajuan supersonik.

Roket itu akan terhenti tetapi momentum membawa kapal itu ke ruang angkasa lebih rendah di mana ia terbalik sehingga tingkap di bumbung kabin memberikan pemandangan Bumi jauh di bawah.

Para penumpang, akan menggunakan pakaian khas disediakan di ruang angkasa yang direka oleh syarikat Under Armour, akan dapat meninggalkan tempat duduk mereka dan terapung di dalam kabin, menggunakan pegangan tangan yang diuji oleh ketua jurulatih angkasawan Beth Moses semasa penerbangan kedua Virgin Galactic ke angkasa lepas.

Ujian ini bertujuan untuk membantu menyelesaikan reka bentuk dan belajar bagaimana melatih angkasawan penumpang untuk apa yang akan mereka alami ketika badan mereka terapung dan mencapai puncak penerbangan, yang dikenal sebagai apogee, sebelum diturunkan semula.

Moses mengatakan bahawa dia menguji pelbagai cara untuk masuk dan keluar dari tempat duduk, bergerak di sekitar kabin dan melambai di cermin, menyimpulkan bahawa ia tidak membosankan.

“Saya juga sengaja pergi ke hujung kabin untuk cuba menikmati apogee dan pemandangan Bumi dari keheningan ruang,” katanya.

Para penumpang perlu kembali ke tempat duduk mereka setelah beberapa minit ketika kapal itu bergerak semula dan mula berinteraksi dengan peningkatan kepadatan atmosfera dan kemudian meluncur mendarat.

SpaceShipTwo dibina di kemudahan Virgin Galactic di Mojave, California, dan akan beroperasi secara komersial dari Spaceport Amerika di selatan New Mexico, di mana penumpang akan menjalani latihan selama beberapa hari sebelum penerbangan mereka.

George Whitesides, bekas CEO syarikat yang kini menjadi ketua pegawai angkasa, mengatakan penerbangan ujian akan datang akan merangkumi empat anak kapal yang memainkan peranan sebagai penumpang.

Whitesides, yang kini akan fokus pada teknologi masa depan, baru-baru ini menyerahkan peranan CEO kepada Michael Colglazier, selaku bekas presiden dan pengarah urusan Disney Parks International.

Syarikat belum menetapkan tarikh penerbangan dengan penumpang yang membayar. Syarikat itu mengatakan lebih daripada 600 orang telah meletakkan deposit.

Tempat duduk awal dijual pada harga AS$250,000 setiap satu. Whitesides mengatakan bahawa kos mungkin meningkat untuk sementara waktu tetapi tujuan jangka panjangnya adalah untuk menjadikan pengembaraan lebih mudah diakses, mungkin pada kos yang lebih rendah. – AP