Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Ruang niaga bantu dedah usahawan tempatan

    Oleh Nurdiyanah R.

    Bagaikan pencetus sinar harapan di saat peluang tersedia di depan mata, insan-insan ini terus menggenggam erat usaha mencurahkan variasi sentuhan produk peribadi mereka untuk lebih dikenali oleh semua lapisan masyarakat di negara ini demi sama-sama meraih sumber pendapatan yang halal.

    Begitulah ketulusan yang rata-rata diluahkan oleh golongan pengusaha tempatan yang mewakili empat buah vendor di bawah Program Pemerkasaan Keusahawanan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) menerusi Ruang Niaga Projek TUNAS bertempat di Aras Bawah, Bangunan KHEDN sejak awal Julai lalu sehingga kini.

    Mereka merupakan wakil-wakil peserta yang terpilih dari Skim Pemerkasaan dan Pembangunan Keusahawanan Khas – BIBD SEED, Gabungan Usahawan Transformasi Satu Kampung Satu Produk (1K1P), Konsortium Mualafpreneurs, dan Usahawan Bakarih Yayasan di mana projek berkenaan adalah sebuah program keusahawanan melalui penyediaan ruang niaga bagi membolehkan usahawan mempraktikkan sejauh mana latihan yang diketengahkan oleh pihak BIBD dapat dimanfaatkan dalam urus niaga mereka demi mencapai kejayaan.

    Dalam pada itu, demi sama-sama mencapai matlamat berkenaan, KHEDN telah menyediakan platform ruang niaga di sebahagian aras bawah bangunan kementerian berkenaan sebagai inkubator perkembangan perniagaan kepada usahawan-usahawan yang di bawah kerjasama Whole of Nation Approach pihak kerajaan dan BIBD menerusi pelbagai program pembangunan keusahawanan.

    ‘Kalau inda bakarih, inda balurih!’
    ‘Kalau inda bakarih, inda belurih!’ itulah antara ungkapan salah seorang pemilik perusahaan Chef_Eliza dan juga O’liz Mechandise and Cuisine di bawah program BIBD SEED, Dayang Halizah binti Haji Lamit semasa ditemui penulis, baru-baru ini, ketika mengimbas perjalanan dalam dunia perniagaan.

    Dayang Halizah semasa ditemui penulis, baru-baru ini.
    Antara peserta di bawah Gabungan Usahawan Transformasi 1K1P yang menyertai Ruang Niaga Projek TUNAS tersebut.
    Dayang Nuraini menyatakan platform Ruang Niaga Projek TUNAS berkenaan sememangnya menyemai jiwa keusahawanan untuk lebih menjadi mantap dan berkualiti dalam segala aspek perniagaan.
    Pengiran Sarayahati bersama rakan-rakan yang mengendalikan vendor di bawah Usahawan Bakarih Yayasan yang menyertai Ruang Niaga Projek TUNAS berkenaan.

    Beliau yang telah menyertai progam BIBD SEED sejak empat tahun lalu di mana menerusinya keperluan bantuan seperti dana kewangan dan kursus meliputi teori dan praktikal telah banyak membantu beliau dan rakan-rakan se- perjuangan yang lain meneruskan perjuangan dalam bidang keusahawanan sehingga ke detik ini.

    “Motivasi yang dicurahkan oleh pihak BIBD SEED dari semasa ke semasa itulah merupakan salah satu sumber kekuatan kami untuk meneruskan langkah dan strategi penjualan dari hari ke hari.

    “Meskipun mengetahui dalam menghasilkan produk-produk seperti makanan pastinya memiliki cabaran-cabaran tertentu seperti adanya persamaan antara seorang pengusaha dengan pengusaha yang lain namun sesuatu itu tidak mematahkan semangat diri ini kerana masing-masing memiliki sentuhan cita rasa resipi tersendiri yang sukar dicari ganti,” ujarnya yang mengetengahkan pelbagai produk ala Jepun dan juga India seperti Onigiri Rice Balls dan Pani Puri.

    Sehubungan itu, Dayang Halizah turut mengongsikan dalam membuka tempahan sehari-hari menerusi pelbagai platform media sosial mahu pun penjualan secara langsung, beliau sentiasa menetapkan tempahan pembelian setiap produk kepada 20 orang dalam sehari. Hal ini bagi menitikberatkan dan mengekalkan nilai-nilai kualiti produk yang dihasilkan selama ini.

    Salah seorang lagi peserta BIBD SEED sejak sekitar bulan Jun tahun lalu, Dayang Nurain binti Abidin selaku pemilik Bittersweet Coffee Shop turut berkesempatan mengongsi dengan menyertai Ruang Niaga Projek TUNAS berkenaan telah memberi peluang kepadanya untuk memperkenalkan minuman berasaskan kopi seperti Latte, Flat White, Americano, Hazelnut Latte dan Mocha, kepada orang ramai sebelum memulakan perniagaan berkonsepkan car wash dan kafe secara rasmi milik beliau sekeluarganya di sekitar Kampung Lambak Kanan.

    Selain itu, beliau turut mempelbagaikan produk minuman khususnya bagi golongan bukan penggemar kopi seperti Matcha Latte, Chocolate dan Berry Tea.

    Sentuhan klasik kepada premium
    Salah seorang wakil pengusaha di bawah Gabungan Usahawan Transformasi 1K1P, Awang Muhd Sahbirin bin Haji Ibrahim, yang juga selaku pengerusi dalam kumpulan vendor berkenaan berkongsi sebelumnya lebih 30 orang usahawan 1K1P dari keempat-empat daerah telah mengikuti kursus di bawah Usahawan Transformasi 1K1P dengan melalui sesi pembentangan dan perkongsian produk masing-masing serta mengikuti penilaian dari BIBD dan KHEDN bagi merebut peluang keemasan menjadi ahli dalam Gabungan Usahawan Transformasi 1K1P berkenaan.

    Tambahnya, kini sebanyak 17 pe- ngusaha berkenaan telah dipilih dan disatukan di bawah kumpulan vendor Gabungan Usahawan Transformasi 1K1P untuk mengikuti Ruang Niaga Projek TUNAS tersebut.

    “Macam-macam ada! Bukan sahaja produk makanan dan minuman bahkan juga seni kraf tangan asli turut ditampilkan oleh ahli-ahli kami. Begitu juga perkhidmatan pelancongan menarik di negara ini ada ditawarkan dalam vendor kami. Itulah keunikan bergabung dalam satu kumpulan ini.

    “Begitu banyak manfaat yang dapat diperoleh dalam menyertai Ruang Niaga Projek TUNAS ini antaranya membantu kami untuk menonjolkan produk-produk asal kampung yang hanya bermula dengan sentuhan klasik kepada premium menerusi pencambahan pengetahuan dan perkongsian dari pihak BIBD sendiri khususnya tentang penjenamaan, pembungkusan, pembayaran digital, dan strategi promosi serta pasaran perniagaan,” ujarnya dengan penuh kesyukuran.

    Sahut cabaran bersama
    Sementara itu, kesyukuran juga dipanjatkan oleh Pengurus Konsortium Mualafpreneurs di bawah Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Dayang Nuraini binti Muhammad Amlee mengemukakan platform Ruang Niaga Projek TUNAS berkenaan sememangnya menyemai jiwa keusahawanan dalam diri kami untuk lebih menjadi mantap dan berkualiti dalam segala aspek perniagaan.

    “Sejujurnya, pengalaman sebeginilah yang amat kami tunggu-tunggu di mana ia secara tidak langsung pemangkin semangat sekali gus membantu golongan mualaf yang berminat dalam bidang berjual beli ini untuk berani tampil dalam sama-sama mencari rezeki dengan sentuhan peribadi mereka dari pelbagai jenis produk.

    “Pastinya adalah menjadi harapan tulus kami dalam Konsortium Mualafpreneurs berjuang meningkatkan taraf kehidupan sehari-hari tanpa mengharapkan sepenuhnya dengan bantuan-bantuan tertentu,” tambahnya yang telah mengetengahkan salah satu jualan hidangan yang laris iaitu tulang kari.

    Mewakili salah seorang peserta di bawah Usahawan Bakarih Yayasan, Pengiran Sarayahati binti Pengiran Matusof bersama rakan-rakan seperjuangannya yang lain yang menyertai Ruang Niaga Projek TUNAS berkenaan mengemukakan pengalaman berjual beli secara langsung menemui para pelanggan itu mengajar mereka untuk berkembang dari satu tahap ke satu tahap yang lain di samping hanya menjalankannya secara tempahan dalam talian.

    “Adalah menjadi harapan kami semua untuk sentiasa menanti-nantikan detik peluang platform berniaga dan apa sahaja kursus dan kemahiran berkaitan dengan pemerkasaan bidang keusahawanan ini agar kami dapat mengembangkan perniagaan kecil-kecilan kami ini dari semasa ke semasa,” luahnya tulus yang mengetengahkan produk jualan antaranya Nasi Lemak Surat Khabar dan pelbagai jenis kek semasa mengakhiri sesi pertemuan bersama penulis, baru-baru ini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...