Ruang udara Miri jadi medan anak Sabah tabur jasa kepada Sarawak

MIRI – Ruang udara di Miri seolah-olah sudah menjadi medan untuk Komander Pangkalan Udara Wilayah Sarawak (PUWS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Robert James, yang berasal dari Sabah, menabur jasa dan menyumbang bakti di negeri bergelar Bumi Kenyalang itu sejak awal Jun tahun ini apabila terlibat secara langsung bagi tugasan logistik COVID-19.

Robert, 35, yang merupakan pembantu juruterbang, berkata dia bersama pasukannya telah beberapa kali melaksanakan pelbagai misi menyelamat selain menghantar bekalan vaksin COVID-19 ke kawasan pedalaman di Miri antaranya Long Lellang, Long Banga, Lio Mato, Long Jeeh dan Long Jekitan.

“Kita juga menghantar petugas Kementerian Kesihatan (KKM) untuk ke kawasan pedalaman yang mengalami peningkatan kes COVID-19 di mana pihak KKM mendirikan PKRC (Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah) di kawasan tersebut sehingga bilangan kes menurun,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sepanjang operasi penghantaran vaksin ke kawasan pedalaman di sini yang mengambil masa antara 30 minit hingga sejam perjalanan dari pangkalan, pelbagai cabaran terpaksa ditempuhi dan yang paling mencabar tentunya keadaan cuaca.

“Apabila kita menghadapi cuaca yang buruk, ia akan menjejaskan operasi. Laluan penerbangan kami perlu diubah beberapa kali bagi mengelakkan awan yang membawa hujan dan ini melibatkan penggunaan bahan api yang lebih, memerlukan kami berfikir pantas untuk membuat keputusan di mana hendak mendarat.

Robert James keluar dari kokpit helikopter sejurus mendarat setelah berjaya terbang menghantar bekalan perubatan termasuk vaksin di kawasan pendalaman Sarawak.Ruang udara di sini sudah menjadi bagai ‘taman permainan’ untuk Robert James sejak awal Jun tahun ini yang terlibat secara langsung dalam tugasan logistik COVID-19. –Bernama
Cabaran bagi Komander Pangkalan Udara Wilayah Sarawak (PUWS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Robert James adalah mendaratkan helikopter dalam kawasan yang sempit dan sukar semata-mata untuk menghantar bekalan perubatan termasuk vaksin di kawasan pedalaman Sarawak.
- Bernama

“Dalam situasi mendarat pula, terdapat pelbagai cabaran yang perlu dihadapi seperti keadaan tapak pendaratan dipenuhi air berikutan banjir di sesetengah kawasan pedalaman yang memerlukan kaedah pendaratan tertentu serta konsentrasi yang tinggi,” kata anak kelahiran Telupid itu.

Menceritakan detik cemas yang pernah dilalui, Robert berkata ada suatu ketika helikopter dinaikinya sudah hampir kehabisan minyak kerana mereka terpaksa melakukan lencongan untuk mengelak daripada berdepan cuaca buruk.

“Bagaimanapun, dengan bantuan kawalan trafik udara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), kami masih mampu meneruskan penerbangan dengan selamat sehingga mendarat di pangkalan,” katanya.

Dia berkata PUWS ketika ini memiliki dua helikopter iaitu MI 171 buatan Rusia dan Agusta 139 buatan Itali yang sentiasa dalam keadaan siap siaga jika berlaku kecemasan yang memerlukan bantuan pasukannya.

Berkongsi kisah pembabitannya dalam JPBM, Robert berkata ketika di bangku sekolah, dia mempunyai tiga cita-cita iaitu sama ada menjadi seorang juruterbang, menyertai pasukan bomba atau memilih kerjaya sebagai guru.

“Apabila berada di sekolah menengah dan semakin mengenali profesion juruterbang, saya dapati untuk menyambung pelajaran dalam jurusan itu sangat tinggi kosnya memandangkan saya berasal daripada keluarga yang sederhana. Jadi, minat saya lebih cenderung untuk menjadi ahli bomba apabila meningkat remaja.

“Selepas menamatkan pengajian di universiti, saya terus memohon untuk jawatan dalam pasukan bomba. Saya berasa amat bertuah dan bersyukur selepas menyertai pasukan ini pada 2012, ada pula unit udara dan itu lebih membakar semangat untuk mengejar impian menjadi juruterbang,” katanya.

Robert menyertai unit udara JPBM pada 2016 dengan menjalani latihan penerbangan di Kelantan serta Johor sebelum ditauliahkan sebagai juruterbang pada Oktober 2020 dan mengetuai PUWS pada Mac 2021 sebagai pembantu juruterbang.

Lebih menarik lagi, kesemua cita-cita beliau seakan-akan tercapai apabila isterinya berkhidmat sebagai seorang guru di Sabah. – Bernama